Ustazah bas, ustazah bomba

Ustazah bas, ustazah bomba

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Gombak: Imej sebagai Muslimah yang berpurdah bukan halangan buat Nor Habibah Hassan atau Hubba Habibah menjadi pemandu ambulans selain bergiat aktif dalam kegiatan sukarelawan.

Hubba Habibah, 20-an yang juga hafizah al-Quran membuktikan dirinya mampu menceburi kerjaya itu biarpun lebih sinonim dengan kaum Adam.

Lebih istimewa, Hubba Habibah bukan hanya berkemahiran memandu ambulans malah kenderaan berat lain seperti bas dan jentera bomba hingga mendapat jolokan ‘Ustazah Bas’ dan ‘Ustazah Bomba’.

Menceritakan kisahnya, Hubba Habibah yang berasal dari Baling, Kedah berkata, pembabitan aktif dalam Pertubuhan Kebajikan Dana Kita yang membuka jalan untuknya bergelar pemandu ambulans sejak empat tahun lalu.

Ibu kepada seorang anak perempuan berumur enam bulan itu berkata, keinginan mencuba menjadi pendorong dan menyuntik keberanian dalam dirinya walaupun sedar tidak mudah menggalas tanggungjawab sebagai pemandu wanita.

“Awalnya saya aktif sebagai sukarelawan Pertubuhan Kebajikan Dana Kita dengan menjadi tenaga pengajar untuk satu program di dalam sebuah bas mini.

“Kemudian datang keinginan belajar memandu bas dan ikutkan, saya tahu memandu bas terlebih dulu sebelum kereta.

“Cuma dalam pertubuhan, ada juga ditawarkan khidmat ambulans dan itu yang menyebabkan saya terjebak sebagai pemandu walaupun bermula sebagai anggota paramedik,” katanya ketika ditemui Harian Metro di Balai Bomba Sukarelawan Gombak di sini.

Hubba Habibah berkata, dia yang juga anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) mengakui ada segelintir individu hairan dan meragui kemampuannya sebagai pemandu ambulans.

“Memang ada yang macam tak percaya bila nampak saya memandu dan turun dari ambulans.

“Tapi saya ambil positif saja dan faham ada tanggapan begitu kerana nampak penampilan saya sebagai wanita berpurdah.

“Cuma daripada satu sudut lain, kerjaya ini menyeronokkan kerana memberi peluang kepada saya mendekati pesakit wanita kerana mereka lebih selesa dan tidak segan meminta tolong,” katanya.

Hubba Habibah berkata, kerjaya itu bukan hanya memberi pengalaman bertemu masyarakat pelbagai latar belakang malah cabaran baharu dalam hidup.

Menurutnya, dia bersyukur kerana mendapat izin suami, Amirul Khairan Mohamad Sapri, 31, untuk terus aktif sehingga kini.

“Cabarannya bila kena memandu ambulans dengan pantas dan pada masa sama memastikan pesakit selamat sampai ke destinasi iaitu hospital.

“Memang gementar malah sampai hari ini pun ada perasaan itu kerana bawa nyawa orang.

“Tapi syukur kerana setakat ini pesakit selesa dan percaya dengan pemanduan saya. Keluarga pun tak ada halangan kerana tahu saya aktif sebagai pemandu ambulans sebelum berkahwin lagi,” katanya yang juga mencari rezeki sebagai guru al-Quran secara dalam talian dan persendirian pada sebelah malam.

Katanya, terlalu banyak pengalaman ditimba sepanjang bergelar pemandu ambulans.

“Ada juga pengalaman mistik dan antara yang tak dapat saya lupakan adalah ketika ternampak kelibat entiti menyerupai suami ketika singgah berehat di sebuah kawasan rehat dan rawat (R&R) menghala utara.

“Ketika itu, saya dan suami nak ambil pesakit dari Padang Rengas, Perak untuk dibawa ke Putrajaya. Waktu rehat, suami tidur di belakang manakala saya di kerusi penumpang hadapan.

“Tapi entiti itu menjelma di kerusi pemandu sebelum di hadapan cermin hadapan namun saya abaikan saja kerana sudah biasa melalui pengalaman mistik.

“Pengalaman menyentuh hati pula bila membawa seorang pesakit dialisis kerana teringat opah (nenek) yang sudah tiada. Waktu itu sedih kerana mengenangkan tak dapat bantu opah ketika hayatnya,” katanya yang juga penuntut Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Tahfiz Al-Quran dan Qira’at) di Universiti Islam Selangor (UIS).

Di sebalik suka duka ditempuh, Hubba Habibah bersyukur kerana diizinkan Allah SWT untuk menjadi pemandu ambulans kerana baginya, kerjaya itu memberi peluang kepadanya membantu pesakit dan lebih mensyukuri nikmat kesihatan.

“Rasa puas dapat tolong dan permudahkan urusan orang lain, saya percaya Allah SWT pun akan mempermudahkan urusan kita di kemudian hari jika berbuat baik.

“Dapat ucapan terima kasih pun sudah buat saya terharu. Selagi ada kudrat, saya akan teruskan.

“Saya alukan juga wanita lain sama ada yang berhijab atau tidak untuk menceburi bidang ini kerana tiada masalah selagi mana kita menjaga diri dan akhlak,” katanya yang merancang memperluaskan perkhidmatan ambulans bersama suami ke tahap lebih profesional dengan menyasarkan golongan kenamaan atau VIP.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top