Pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming mengumumkan bahawa produk terbaharunya, Sambal Nyet Bilis, bakal dilancarkan secara rasmi di puncak Merdeka 118, mercu tanda tertinggi negara, dalam satu acara yang dijadual berlangsung esok.
Screenshot
Menerusi video yang dikongsikan di Instagram, anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu mengimbau kembali perjalanan awal perniagaannya yang bermula secara sederhana sebelum berkembang sehingga ke tahap sekarang. Khairul Aming, atau lebih dikenali sebagai KA, turut berkongsi cabaran dan ketakutan yang pernah dihadapinya ketika mula membina jenama sendiri.
“Enam tahun lalu, saya jual botol sambal yang pertama dekat satu kedai runcit, kecil sahaja kedai di tepi jalan. KA sendiri takut nak mencuba kerana risau dihakimi orang ramai, gagal dan takut nak ada impian yang besar.
“Tapi KA tetap teruskan hari demi hari walaupun penat. Hasil sokongan anda semua, sambal kedua akan dilancarkan dari mercu tanda kebanggaan kita semua.
“Majlis pelancaran ini akan jadi livestream terbesar pernah KA buat dan banyak persediaan perlu dibuat (untuk merealisasikannya),” katanya, semalam.

Apa yang lebih mencuri perhatian, majlis pelancaran itu akan disiarkan secara penstriman langsung bagi membolehkan rakyat Malaysia mengikuti acara berkenaan dari seluruh negara.
Pelancaran tersebut turut mengetengahkan tema kemerdekaan sebagai simbol penghargaan terhadap pengorbanan pejuang terdahulu yang berjuang membebaskan tanah air daripada penjajahan kuasa asing.
Menurut KA, pemilihan Merdeka 118 sebagai lokasi pelancaran bukan dilakukan secara kebetulan, sebaliknya bertepatan dengan semangat bulan kemerdekaan yang bakal disambut pada 31 Ogos.
Beliau menjelaskan, majlis berkenaan bukan sekadar meraikan pencapaian peribadinya sebagai usahawan, malah menjadi simbol penghargaan kepada seluruh usahawan tempatan yang tidak pernah berputus asa menghasilkan produk berkualiti dan mengharumkan nama Malaysia.

“Majlis ini nanti akan berlangsung selama tiga jam dan sejurus Sambal Nyet Bilis ‘sold out’ (habis dijual), KA akan sambung dengan jualan produk lokal untuk meraikan jenama tempatan dan bantu peniaga kecil.
“Kepada anak muda di luar sana anda adalah pelapis negara kita yang seterusnya, teruskan belajar, letak impian besar dalam hidup dan berusaha bersungguh-sungguh, kalau gagal sekalipun dari situ kita belajar untuk jadi lebih baik.
“KA mohon doakan majlis nanti berjalan lancar dan dapat sokongan orang ramai,” kongsunya.
Artikel lain: Khairul Aming keluarkan produk baharu, sanggup turun laut demi Sambal Nyet Bilis
Dalam perkongsian sama, KA turut memaparkan persiapan akhir menjelang pelancaran produk berkenaan yang kini sedang giat dilakukan. Video tersebut turut memaparkan beliau tampil kemas mengenakan baju Melayu lengkap bersamping dan bersongkok, selain berkongsi visual berada di puncak Merdeka 118 sambil memegang Sambal Nyet Bilis, sekali gus memberi gambaran eksklusif menjelang acara pelancaran rasmi itu.
Sumber: Instagram khairulaming




