'Macam tak percaya abah sudah tiada tapi kena reda'

'Macam tak percaya abah sudah tiada tapi kena reda'

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Gombak: “Rasa macam bermimpi dan sejak ketiadaannya, saya tak boleh nak duduk seorang diri.

“Nak tak nak kena kuat…tak boleh meratap dan anak penguat saya untuk bangkit selain keluarga, kawan juga kenalan yang banyak membantu.”

Demikian luahan Nur Aisyah Mohd Rodzi, 37, iaitu balu kepada Allahyarham Mohamad Nurhaziq Mohd Anin yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan dua kereta berhampiran Jalan Travers, di sini, pada 31 Julai lalu.

Menurut Nur Aisyah, pemergian suaminya adalah kehilangan besar buatnya selepas 15 tahun hidup bersama begitu juga dengan anaknya yang sudah tiada sosok seorang bapa.

Katanya, lebih memilukan apabila Allahyarham suaminya yang mencari rezeki sebagai guru mengaji sambilan dijemput Ilahi beberapa hari sebelum menyambut ulang tahun kelahiran ke 37 pada 11 Ogos depan.

“Arwah suami seorang bapa yang baik dan rapat dengan anak namun tegas dalam didikan agama serta tidak boleh berkompromi mengenainya (hal agama).

“Saya tak pandai memandu dan tak tahu membayar bil tapi suami meratukan saya dengan bantu dalam hal berkenaan termasuk urusan anak.

“Malam sebelum suami meninggal dunia, arwah makan burger di dapur dan waktu itu anak sudah tidur…arwah beritahu tak sabar nak rehat kerana penat kerja.

“Saya beritahunya nanti boleh berehat kerana hujung minggu lalu kami sembilan beranak sepatutnya berkumpul bersama tapi tak kesampaian apabila arwah pergi buat selamanya,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya dekat Kampung Sungai Chinchin, di sini.

Mengimbas detik pada hari kejadian, Nur Aisyah berkata, dia yang terlebih dahulu menghubungi Allahyarham selepas suaminya tidak pulang ke rumah.

“Pada hari berkenaan, suami keluar rumah jam 7.30 pagi selepas bersarapan untuk mengajar di UniKL Bangsar.

“Kebiasaannya, suami akan balik ke rumah dalam jam 11 pagi bersama anak keempat tapi tak tiba. Saya biarkan dahulu kerana fikir suami sedang mengisi minyak motosikal atau dalam masih dalam perjalanan.

“Tepat jam 11.15 pagi, saya hubunginya dan selepas panggilan keempat barulah panggilan telefon dijawab namun oleh seorang sarjan…waktu itu sudah berada tak sedap hati dan sarjan berkenaan kemudian memaklumkan suami saya kemalangan. Saya dapat dengar sarjan berkenaan sebak selepas mendengar suara anak saya.

“Lima minit kemudian, sarjan itu menghantar kiriman mesej kepada saya minta bersabar dan beritahu suami sudah meninggal dunia.

“Saya berasa kosong waktu itu dan terus hantar kiriman mesej berkenaan kepada ahli keluarga dan rakan baik suami yang menjadi orang pertama tiba di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebagai wakil,” katanya.

Sebagai isteri, Nur Aisyah tentunya sedih namun kuat kerana masih ada anak dan akan berjuang menuntut keadilan buat Allahyarham suaminya.

“Harap syurga buat suami dan moga Allah SWT permudahkan jalannya ke sana.

“Tiada lain yang dapat saya dan anak berikan melainkan doa juga sedekahkan al-Fatihah buatnya.

“Mudah-mudahan ada saksi yang tampil kerana setakat ini tiada lagi walaupun sudah buat hebahan di media sosial. Jika ada, (saksi tampil), itulah hadiah terbaik buat suami sempena ulang tahun kelahirannya tidak lama lagi,” katanya yang mencari rezeki sebagai guru al-Quran.

Sementara itu, anak sulungnya, Muhammad Adam Haikal Mohamad Nurhaziq, 14, juga tidak percaya yang bapanya sudah meninggalkannya buat selamanya.

Bagaimanapun, Muhammad Adam Haikal bersyukur kerana dapat mengimamkan solat jenazah selain membantu mengebumikan jasad bapanya ke dalam liang lahad.

“Walaupun tinggal di asrama, saya rapat dengan abah dan arwah selalu pesan supaya jaga kebersihan, jangan buat perangai dan jangan ejek kawan di sekolah.

“Jadi bila diberitahu cikgu yang abah meninggal dunia, saya menangis.

“Sedih dan gementar juga ketika imamkan solat jenazah tapi beranikan diri kerana anggap itu hadiah terakhir buat abah.

“Macam tak percaya abah sudah tiada tapi kena reda…abah pun pergi hari baik dan waktu dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mencari nafkah. Semoga Allah SWT tempatkan abah di dalam syurga,” katanya yang berhasrat menyambung pengajian di universiti dalam negara selepas tamat persekolahan nanti.

Saksi kejadian boleh menghubungi Azizi Azizan iaitu sepupu Allahyarham Mohamad Nurhaziq menerusi nombor 017-6985102.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, seorang guru sambilan maut dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan dua kenderaan berhampiran Jalan Travers, di sini, pada 31 Julai lalu.

Mangsa, Mohamad Nurhaziq Mohd Anin, 37, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum pengesahan dibuat pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada jam 12.30 tengah hari.

Seorang wanita kemudiannya didakwa di Mahkamah Majistret Trafik, Kuala Lumpur pada Isnin atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Travers pada 31 Julai.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa dilapor berkata, tertuduh berusia 21 tahun didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top