Anugerah Sastera Negara : 'Pengiktirafan itu amat dinanti-nantikan Allahyarham' – Isteri Mana Sikana

Anugerah Sastera Negara : 'Pengiktirafan itu amat dinanti-nantikan Allahyarham' – Isteri Mana Sikana

Kuala Lumpur : Isteri Allahyarham Dr Abdul Rahman Napiah atau lebih dikenali dengan nama pena Mana Sikana, menyifatkan pengurniaan Anugerah Sastera Negara (ASN) ke-16 kepada suaminya, sebagai pengiktirafan yang amat dinanti-nantikan tokoh sastera itu sebelum meninggal dunia tahun lalu.

Salmah Ali, 82, berkata, pengiktirafan itu sememangnya sudah lama diidamkan Allahyarham, yang banyak menaburkan jasa dalam bidang kesusasteraan sepanjang hayatnya.

“Sejak di sekolah lagi dia sudah menerima anugerah sastera. Pada hari arwah meninggal dunia, dia masih membentangkan kertas kerja untuk Dewan Bahasa dan Pustaka, sebelum mengalami sakit perut dan muntah, lalu dibawa ke hospital pada waktu malam.

“Sebelum meninggal dunia, arwah telah dimaklumkan kemungkinan menerima anugerah sastera. Sebagai isterinya, saya berasa bangga dan gembira, tetapi saya cukup sedih apabila berada di majlis ini kerana ia memang sesuatu yang diinginkannya,” katanya dalam nada sebak.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima anugerah berprestij itu yang dikurniakan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofia, pada Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Negara ke-16 di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Salmah berkata, kecintaan Mana Sikana terhadap bidang sastera amat mendalam, bukan sahaja melalui penulisan tetapi turut meliputi penghasilan karya drama televisyen dan radio, selain aktif dalam bidang akademik sehingga diiktiraf sebagai profesor.

“Semasa kami tinggal di Johor Bahru, dia aktif menghasilkan karya drama untuk radio dan televisyen Singapura. Televisyen Malaysia juga banyak menyiarkan hasil karyanya, selain beliau mengajar.

“Selepas beberapa tahun, dia melanjutkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sehingga menjadi profesor dalam bidangnya. Bukan sahaja di Malaysia, malah di Indonesia beliau turut menjadi pensyarah jemputan di universiti di sana,” katanya.

Beliau berkata Allahyarham turut berkongsi ilmu penulisan dan kesusasteraan dengan empat anak serta 12 cucu mereka sehingga akhir hayatnya, sebelum meninggal dunia pada usia 80 tahun pada Mei tahun lepas akibat komplikasi jantung.

Salmah berkata, beliau sekeluarga bersyukur, kerana akhirnya Allahyarham menerima pengiktirafan atas jasa dan sumbangannya terhadap dunia kesusasteraan negara.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ketika sembah ucapan menjunjung kasih berkata pemilihan Mana Sikana sebagai Sasterawan Negara ke-16 adalah pengiktirafan terhadap sumbangan besar beliau dalam memperkukuh kesusasteraan kebangsaan menerusi karya kreatif, pemikiran teori, kritikan serta wacana akademik.

Dilahirkan di Bagan Serai, Perak pada 9 Oktober 1946, Mana Sikana memulakan kerjaya sebagai guru sebelum menceburi bidang akademik dan berkhidmat di beberapa institusi pengajian tinggi termasuk UKM, Universiti Teknologi Nanyang, Singapura serta Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top