Daryl seru rakan sepasukan bersedia tentangan Filipina

Daryl seru rakan sepasukan bersedia tentangan Filipina

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemain tengah Harimau Malaya, Daryl Sham George berharap setiap pemain berada pada tahap terbaik, terutama dari segi persediaan mental dan fizikal kerana ia akan menjadi elemen penting menjelang aksi terakhir Kumpulan B Piala ASEAN menentang Filipina di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Jelasnya, dia mengakui kekalahan kepada Thailand dalam perlawanan ketiga baru-baru ini memberi sedikit kesan, namun perkara itu tidak boleh terus diratapi.

Sebaliknya, mereka perlu bangkit memburu kemenangan dalam perlawanan hidup mati itu.

Katanya, fokus utama pasukan ketika ini adalah mengekalkan mentaliti positif selain turun ke padang dengan keyakinan penuh untuk meraih tiga mata.

“Dalam perlawanan menentang Thailand, kami melakukan beberapa kesilapan yang boleh dielakkan walaupun perkara itu biasa berlaku dalam bola sepak. Tapi lebih penting ketika ini, kami perlu kekal positif dan bersedia dengan mentaliti yang baik untuk perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

“Kami perlu turun dalam perlawanan ini tanpa rasa takut dan dengan mentaliti untuk menang,” katanya.

Untuk rekod, skuad kendalian Tan Cheng Hoe wajib mencatat kemenangan bagi memastikan tempat ke separuh akhir kejohanan kerana keputusan seri hanya memberi kelebihan kepada Myanmar.

Selain itu, pemain berusia 24 tahun itu melihat kekuatan Harimau Malaya bukan hanya terletak pada kemampuan individu, sebaliknya semangat kebersamaan dalam pasukan yang sentiasa saling memberi sokongan.

“Kami bekerja sebagai satu pasukan, saling menyokong antara satu sama lain dan saya yakin kami akan mempamerkan aksi yang lebih baik ketika menentang Filipina,” katanya.

Mengulas mengenai lawan yang bakal dihadapi, pemain tengah itu mengakui Filipina bukan pasukan yang mudah dijinakkan, namun percaya Harimau Malaya memiliki kemampuan untuk meraih kemenangan sekali gus meneruskan kemaraan dalam kejohanan.

“Filipina adalah pasukan yang baik, tetapi jika kami berjaya menewaskan mereka, saya yakin kami mampu mara hingga ke pentas final,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top