sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemain pertahanan Harimau Malaya, Faris Danish Mohd Asrul melaungkan keyakinan skuad negara memiliki kelebihan dan perlu memanfaatkan perkara itu sebaik mungkin untuk menewaskan Filipina dalam aksi terakhir Kumpulan B Piala ASEAN 2026 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Sabtu ini.
Bagi Faris Danish, dia mengakui Filipina sebuah pasukan yang baik, namun menegaskan Malaysia akan turun dengan barisan terkuat bagi memastikan tiga mata penting menjadi milik mereka.
“Selepas melihat perlawanan Filipina, saya rasa mereka beraksi dengan agak baik, tetapi saya rasa kami lebih baik daripada mereka.
“InsyaAllah, saya rasa kami boleh melakukannya dan pasukan mampu mempamerkan persembahan yang lebih baik untuk mendapatkan tiga mata,” katanya.
Selain itu, dia mengakui bantuan rakan sepasukan, terutama pemain senior, banyak membantunya menyesuaikan diri dengan cepat terhadap tempo permainan, sekali gus memberi impak positif dalam penampilan sulungnya bersama Harimau Malaya.
“Setiap peluang yang diberikan, saya gunakan sebaik mungkin untuk beraksi dengan cemerlang. Malah, pemain senior juga banyak membantu saya di atas padang dan itu sangat penting untuk saya,” katanya.
Ketika ini, skuad bimbingan Tan Cheng Hoe berada di kedudukan ketiga Kumpulan B selepas mengutip enam mata, sama seperti Myanmar, namun tewas dari segi perbezaan jaringan.
Justeru, untuk layak ke separuh akhir, tiada pilihan lain selain mencatat kemenangan bagi meneruskan perjuangan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




