Lambat hidang makanan, wanita dipancung adik ipar

Lambat hidang makanan, wanita dipancung adik ipar

NEW DELHI – Seorang wanita berusia 25 tahun dibunuh dengan kejam selepas dipercayai dipancung oleh adik iparnya kerana didakwa lewat menghidangkan makanan dalam kejadian di Kampung Imadpur, daerah Jehanabad, Bihar pada 30 Julai lalu.

Mangsa, Anshu Devi, yang merupakan isteri kepada Dharmendra Kumar, bersendirian di rumah ketika kejadian kerana ahli keluarganya dilaporkan keluar bekerja di sawah.

Menurut penduduk kampung, suspek yang dikenali sebagai Kunal Kumar pulang ke rumah dan meminta makanan.

Namun, dia dikatakan naik berang apabila makanan tidak dihidangkan dengan segera sebelum mencapai sebilah kapak dan menyerang mangsa.

Serangan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian leher sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Lebih menggemparkan, suspek dipercayai memenggal kepala mangsa sebelum menggantungnya pada sebatang pokok di hadapan rumah, menyebabkan penduduk yang menyaksikan kejadian itu terkejut dan segera menghubungi polis.

Menurut penduduk, suspek dipercayai mempunyai masalah ketagihan dadah dan sering menunjukkan sikap agresif.

Walaupun melakukan pembunuhan kejam itu, suspek tidak melarikan diri. Sebaliknya, dia hanya duduk berhampiran rumah sehingga anggota polis tiba di lokasi.

Pihak polis kemudian merampas kapak yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu sebelum menahan suspek untuk membantu siasatan.

Siasatan awal mendapati pembunuhan tersebut dipercayai berpunca daripada kemarahan suspek kerana mangsa dikatakan lambat menghidangkan makanan kepadanya.

Kes itu kini disiasat mengikut undang-undang jenayah India. –Agensi

Scroll to Top