Michelle Yeoh dinobat The Asian Filmmaker of the Year

Michelle Yeoh dinobat The Asian Filmmaker of the Year

Kuala Lumpur: Bintang Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh terus mengharumkan nama negara apabila dipilih sebagai penerima anugerah The Asian Filmmaker of the Year sempena Festival Filem Antarabangsa Busan (BIFF) Ke-31, sekali gus mengiktiraf sumbangan luar biasanya dalam memperkasa sinema Asia di persada dunia.

Pengiktirafan tahunan itu diberikan kepada individu atau organisasi perfileman Asia yang memberi sumbangan cemerlang terhadap perkembangan industri perfileman serantau.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh laman web rasmi BIFF, penganjur menyifatkan Yeoh sebagai pelakon versatil yang bukan sahaja memiliki mutu lakonan luar biasa, malah berjaya mengubah persepsi terhadap watak wanita dalam filem aksi sehingga muncul antara figura paling berpengaruh dalam sejarah perfileman Hong Kong.

“Menerusi karisma, gaya dan penghayatan yang mendalam, Yeoh terus cemerlang merentasi industri perfileman Asia dan Hollywood, selain memikat penonton di seluruh dunia.

“Sebagai pelakon Asia pertama memenangi Anugerah Akademi (Oscar) bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik, beliau terus membuktikan keupayaan luar biasa menerusi pelbagai karya yang merentasi negara dan genre,” kata kenyataan itu.

Yeoh memulakan perjalanan seninya menerusi filem Yes, Madam! pada 1985 sebelum mencipta nama menerusi karya ikonik seperti Police Story 3: Supercop (1992) dan Wing Chun (1994), sekali gus mencabar dominasi stereotaip lelaki dalam genre aksi.

Namanya melonjak ke pentas antarabangsa menerusi filem James Bond, Tomorrow Never Dies (1997) dan Crouching Tiger, Hidden Dragon (2000), yang mencatat kejayaan besar di pawagam seluruh dunia meskipun diterbitkan dalam bahasa bukan Inggeris.

Kerjaya Yeoh terus berkembang menerusi filem seperti Crazy Rich Asians (2018), Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings (2021) dan Wicked (2024), sebelum mencipta sejarah apabila memenangi Anugerah Akademi (Oscar) menerusi lakonan cemerlang dalam Everything Everywhere All at Once (2022).

Kemenangan itu turut melengkapkan deretan pengiktirafan antarabangsa apabila beliau meraih trofi Screen Actors Guild (SAG) Awards dan Golden Globe Awards.

Terbaharu, Yeoh sekali lagi melakar sejarah apabila muncul wanita Asia pertama menerima Honorary Golden Bear pada Festival Filem Antarabangsa Berlin 2026, sekali gus mengukuhkan legasinya dalam dunia perfileman antarabangsa.

Menurut BIFF, Yeoh bukan sahaja berjaya membentuk imej baharu heroin filem aksi, malah sentiasa berani meneroka pelbagai genre termasuk filem arthouse, drama dan komedi muzikal.

“Keupayaannya membawakan watak biasa sehingga menjadi karakter yang begitu berkesan membuktikan versatiliti luar biasa dimilikinya. Watak-watak yang dibawakan terus menjadi inspirasi kepada generasi baharu pelakon dan pembikin filem.

“Melalui persembahan yang sentiasa mencabar batas usia serta konvensi, Yeoh membuktikan bagaimana seseorang pelakon mampu memperluaskan imaginasi dunia sinema,” katanya.

Hubungan Yeoh dengan BIFF bermula sejak 2002 apabila menghadiri Pusan Promotion Plan (PPP), yang kini dikenali sebagai Asian Project Market.

Sepanjang tempoh itu, beberapa filem lakonannya termasuk Far North (2007), Reign of Assassins (2010), The Lady (2011), Master Z: The Ip Man Legacy (2018) dan Everything Everywhere All at Once (2022) pernah ditayangkan pada festival berkenaan.

Kehadiran Yeoh pada edisi kali ini turut menandakan kemunculan semulanya di karpet merah BIFF selepas 15 tahun sejak menghadiri tayangan The Lady pada 2011.

Sebagai sebahagian daripada program khas Special Program in Focus, BIFF akan menayangkan tiga filem pilihan Yeoh iaitu Reign of Assassins, Everything Everywhere All at Once dan Sandiwara (2026).

Filem terbaharunya, It’s My Time (2026) turut akan ditayangkan sebagai penghormatan terhadap perjalanan seni dan sumbangannya kepada dunia perfileman.

Anugerah The Asian Filmmaker of the Year akan disampaikan pada majlis pembukaan BIFF Ke-31 di Busan Cinema Center pada 6 Oktober depan, manakala festival berkenaan berlangsung sehingga 15 Oktober.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top