Seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hari ini secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan dalam satu istiadat yang berlangsung di Istana Besar Seri Menanti, di sini pada Jumaat.
Foto: Buletin TV3
Memetik laporan Sinar Harian, istiadat tersebut disempurnakan di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Turut berangkat ke majlis berkenaan ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud serta dua putera baginda iaitu Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan, Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz.
Hadir sama dalam istiadat itu ialah Undang Luak Sungei Ujong dan Undang Luak Rembau.
Difahamkam, lapan ADUN daripada Barisan Nasional (BN) yang mengangkat sumpah sebagai Exco ialah Datuk Mohd Faizal Ramli (Linggi), Datuk Zaifulbahri Idris (Chembong), Datuk Mustapha Nagoor (Palong), Datuk Mohd Asna Amin (Lenggeng), Datuk Mohd Razi Mohd Ali (Sungai Lui), Siti Nur Umaira Hasim (Labu), Siow Kong Choon (Chennah) serta Suhaimizan Bizar (Gemencheh).
Sementara itu, dua wakil daripada Perikatan Nasional (PN) turut dilantik menganggotai barisan Exco negeri iaitu Mohd Fairuz Mohd Isa (Serting) dan Datuk Razali Abu Samah (Sikamat).
Majlis angkat sumpah itu turut disaksikan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim yang terlebih dahulu mengangkat sumpah jawatan berkenaan pada Ahad lalu.
Artikel lain: Siapa pilihan Ismail Lasim? Senarai EXCO Negeri Sembilan diketahui esok!
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang berlangsung Sabtu lalu, BN berjaya memperoleh 18 daripada keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PN memenangi tujuh kerusi.
Keputusan itu sekali gus memberi laluan kepada gabungan berkenaan untuk membentuk kerajaan negeri bagi penggal baharu.
Sumber: Sinar Harian (Syamilah Zulkifli)




