am@hmetro.com.my
Alor Gajah: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan kerajaan menyalurkan peruntukan terus kepada rakyat, bukannya kepada Ahli Parlimen.
Justeru, katanya, tiada isu sekatan peruntukan kepada Ahli Parlimen kerana dana kerajaan yang disediakan disalurkan terus kepada rakyat menerusi pembiayaan keperluan rakyat termasuk pembaikan kemudahan awam, sekolah, sekolah agama, masjid serta infrastruktur asas seperti longkang.
“Peruntukan tidak semestinya diberi kepada Ahli Parlimen, (sebaliknya) peruntukan diberi terus kepada rakyat. Sejak bila kita kena beri kepada Ahli Parlimen?
“Kalau ada peruntukan RM2 juta (dengan) RM2 juta itu juga disalurkan kepada rakyat, sekolah, sekolah agama, masjid, pembaikan longkang dan pelbagai keperluan lain, itu yang akan kita lakukan,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Ar-Rasyidin di sini hari ini.
Semalam, Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail mendakwa pusat khidmatnya tidak lagi dibenarkan mengakses sistem MyKhas yang digunakan untuk menguruskan peruntukan pembangunan kawasan.
Beliau dilaporkan berkata, perkembangan itu menjejaskan pengurusan dan penyaluran peruntukan bagi menyediakan pelbagai bantuan dan sokongan di samping melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan dan keraian serta kerja-kerja infra di bawah kerangka Projek Mesra Rakyat (PMR) yang selama ini memberi manfaat besar buat warga Parlimen Ampang.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kaedah menyalurkan peruntukan terus kepada rakyat bukan dasar baharu, sebaliknya sudah lama diamalkan.
“Dasar itu sudah lama diguna pakai. Semua Ahli Parlimen pun tahu mengenainya dan sekarang mereka menentang (tidak menyokong), jadi kita salurkan terus kepada rakyat.
“Tiada sekatan, yang penting peruntukan itu untuk siapa? Untuk Ahli Parlimen atau untuk rakyat? Jadi peruntukan itu mesti sampai kepada rakyat.
“Sekolah, sekolah agama, madrasah, masjid, pembaikan tandas yang rosak, longkang dan pelbagai keperluan lain, semuanya diluluskan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




