khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyifatkan kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkait keanggotaan parti itu dalam Perikatan Nasional (PN) tergugur dengan sendiri adalah bercanggah dengan Perlembagaan gabungan.
Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata, tidak ada mana-mana fasal dalam Perlembagaan PN yang memperuntukkan keanggotaan parti anggota tergugur dengan sendirinya.
“Kedudukan BERSATU sebagai parti anggota PN hanya boleh dimuktamadkan oleh Majlis Presiden menurut Fasal 7A Perlembagaan PN.
“Sehingga kini, Majlis Presiden tidak pernah bersidang untuk menentukan keanggotaan BERSATU dalam PN. Justeru, BERSATU masih parti anggota PN yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Abdul Hadi berkata, keahlian BERSATU dalam gabungan PN terlucut secara automatik selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pembentukan gabungan baharu.
Abdul Hadi berkata, BERSATU kini bukan lagi parti gabungan PN berdasarkan Perlembagaan parti apabila ahlinya menyertai gabungan lain.
Mohamed Azmin menegaskan, Abdul Hadi tidak mempunyai apa-apa hak atau kuasa veto untuk menentukan kedudukan BERSATU dalam PN.
“Kenyataan semberono beliau menunjukkan bahawa beliau tidak mempunyai pengetahuan asas mengenai Perlembagaan PN. Setiap parti anggota PN mempunyai hak-hak yang termaktub di bawah Fasal 7 Perlembagaan PN,” katanya.
Beliau turut menyatakan tindakan Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, dan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, menghalang wakil BERSATU menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu yang membuat keputusan mengenai pengagihan kerusi dan kerjasama dengan BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan baru-baru ini adalah bercanggah dengan Perlembagaan PN.
“BERSATU akan membuat aduan rasmi kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia berhubung pelanggaran perlembagaan yang serius ini.
“PN yang dikuasai oleh PAS tidak lagi menjunjung Perlembagaan PN, mengenepikan prinsip tadbir urus yang baik, bertindak secara semberono dan tidak demokratik.
“BERSATU bertegas akan bertindak mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan serta akan sentiasa mempertahankan prinsip keadilan dan kesederhanaan dalam menjamin masa depan Malaysia yang bermaruah dan makmur untuk semua rakyat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




