mohdsyazwan@hmetro.com
Kuala Lumpur: Menjelang Kongres Pemilihan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), persoalan mengenai kredibiliti calon mula menjadi perhatian selepas dakwaan membabitkan seorang individu yang disebut-sebut bakal bertanding jawatan penting badan induk itu hangat diperkatakan.
Isu yang timbul bukan sekadar mengenai dakwaan status senarai hitam atau sekatan perjalanan, tetapi bagaimana seseorang individu dikaitkan dengan perkara berkenaan boleh berada dalam radar pencalonan bagi merebut kerusi paling berpengaruh dalam bola sepak negara.
Penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, calon yang mahu menerajui FAM perlu mengambil kira aspek integriti dan imej kerana jawatan Presiden membawa tanggungjawab besar kepada bola sepak Malaysia.
Menurut beliau, sekiranya seseorang individu benar-benar mahu bertanding, segala isu berkaitan dirinya perlu diselesaikan terlebih dahulu bagi mengelakkan timbul persoalan terhadap kredibiliti organisasi.
“Kita anggap calon tersebut tahu status dirinya dan kalau betul-betul mahu bertanding, sudah pasti dia tahu serta perlu mengambil inisiatif untuk menyelesaikan isu tersebut sebelum pengumuman calon akhir dibuat oleh FAM nanti,” katanya.
Pekan berkata, perkara lebih besar adalah memastikan tiada persepsi wujudnya laluan istimewa kepada mana-mana calon kerana ia boleh menjejaskan keyakinan terhadap proses pemilihan.
“Kita tidak mahu berlaku perkara pelik apabila calon yang diketahui mempunyai isu tertentu tiba-tiba melepasi proses tapisan atau saringan.
“Jika perkara itu berlaku, ia boleh dipersoalkan dari sudut ketelusan dan integriti,” katanya.
Beliau turut mengingatkan supaya tidak berlaku situasi yang boleh mencetuskan spekulasi atau persepsi negatif menjelang kongres pemilihan.
“Kita tidak mahu bila saat akhir berlaku penarikan diri yang orang tidak tahu cerita sebenar dan orang melihat ia sebagai satu pakatan sulit. Kalau mahu diselesaikan, elok diselesaikan segera,” katanya.
Menurut Pekan, ahli gabungan yang mengemukakan pencalonan tidak semestinya mengetahui sepenuhnya status setiap individu kerana proses semakan akhir terletak pada pihak yang mengendalikan pemilihan FAM.
“Tugas untuk menapis itu memang perlu dibuat oleh jawatankuasa atau sekretariat di bawah FAM.
“Kita tidak mahu berlaku keadaan calon yang tidak memenuhi syarat berjaya melepasi saringan kerana ia akan menimbulkan persoalan besar terhadap proses tersebut,” katanya.
Sebelum ini, Arena Metro melaporkan dakwaan seorang calon yang disebut-sebut bakal bertanding jawatan Presiden FAM berdepan isu senarai hitam termasuk dakwaan membabitkan tunggakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjumlah ratusan ribu ringgit serta sekatan untuk keluar negara.
Arena Metro turut difahamkan individu terbabit tidak dibenarkan keluar negara ketika ini atas masalah tertentu dan perlu merujuk kepada pejabat Imigresen bagi tindakan lanjut.
Bagaimanapun, identiti individu berkenaan tidak didedahkan dan tiada pengesahan rasmi daripada FAM atau pihak berkuasa berkaitan mengenai perkara itu.
Sebelum ini, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman memaklumkan semua calon yang menerima pencalonan masih menjalani proses tapisan termasuk saringan integriti oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Insolvensi Malaysia.
Tiga nama sebelum ini dilaporkan menerima pencalonan bagi merebut jawatan Presiden FAM iaitu Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin; Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan dan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




