PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) telah menerima memorandum yang diserahkan oleh wakil badan bukan kerajaan (NGO) menerusi Himpunan Aman Solidariti Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) TH yang berlangsung di Menara TH hari ini.
TH dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya akan meneliti semua pandangan dan cadangan yang dikemukakan bagi membantu organisasi mencapai hasrat melaksanakan penambahbaikan berterusan untuk kesejahteraan lebih 9.8 juta pendeposit.
“TH amat menghargai setiap pandangan dan cadangan yang telah disampaikan. Ini mencerminkan keprihatinan tulus masyarakat dalam mendukung institusi haji negara demi memelihara kemaslahatan ummah,” katanya.
Dalam pada itu, TH turut menyokong tindakan tegas kerajaan dalam mengambil tindakan sewajarnya berhubung hasil dapatan RCI.
Katanya, TH telah melaksanakan lebih 75 peratus daripada syor-syor RCI dan terus giat melaksanakan baki syor-syor penambahbaikan secara keseluruhan.
“Hasilnya dapat dilihat bila mana kedudukan TH hari ini jauh lebih kukuh berbanding tahun 2018 atas usaha pemulihan berterusan sejak lapan tahun lalu,” katanya. – UTUSAN




