‘Kecewa dengan Nurul Izzah, ini bukan jawatan main-main’ – Rodziah

‘Kecewa dengan Nurul Izzah, ini bukan jawatan main-main’ – Rodziah

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail menyatakan kekecewaannya terhadap tindakan Nurul Izzah Anwar yang ingin melepaskan jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Memetik portal Malaysiakini, Rodziah mengakui terkilan dengan keputusan tersebut kerana jawatan yang disandang Nurul Izzah bukan main-main.

“Kalau pilihan dia nak letak jawatan, itu hak dia. Tetapi sebagai seorang anggota parti, saya rasa terkilan kerana jawatan yang disandang bukan jawatan main-main.

“Ia merupakan jawatan kedua tertinggi dalam PKR,” katanya ketika ditemui di program Projek Amal Rakyat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Ampang, Ampang Jaya pada Jumaat.

Rodziah bagaimanapun memaklumkan, beliau tidak terkejut dengan keputusan sedemikian kerana sudah beberapa kali mendengarnya sejak Nurul Izzah memenangi jawatan itu menerusi pemilihan PKR tahun lalu.

Menurut beliau, alasan yang diberikan bagi melepaskan jawatan penting tersebut boleh difahami kerana setiap individu mempunyai sebab tersendiri.

Namun, bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor itu berpandangan, ia tidak seharusnya menghalang Nurul Izzah daripada terus memperjuangkan agenda reformasi.

“Ada juga orang lain yang masih belajar, tetapi tetap meneruskan perjuangan reformasi.

“Kalau betul mahu bercuti untuk belajar, ada baiknya dia tidak perlu kembali aktif dalam politik.

“Beri peluang kepada orang lain untuk memimpin PKR” ujarnya lagi.

Pada masa sama, Rodziah berkata, perkembangan itu memberi gambaran bahawa PKR perlu menilai semula hala tuju dan perjuangannya kerana terdapat beberapa langkah yang disifatkan kurang tepat.

“Saya harap kepimpinan tertinggi jangan mempermainkan kedudukan yang diberikan. Jawatan ini penting kerana melambangkan kekuatan sesebuah parti politik.

“Kalau kita menerima jawatan tapi tidak melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan, perkara ini perlu diberi perhatian,” jelasnya.

Rodziah bagaimanapun menegaskan pandangan itu dibuat atas kapasiti dirinya sebagai seorang anggota parti, bukannya mewakili pendirian rasmi PKR.

Scroll to Top