KPJ Healthcare, SingHealth jalin kerjasama strategik

KPJ Healthcare, SingHealth jalin kerjasama strategik

Johor Bahru : KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) memulakan kerjasama strategik dengan SingHealth, kelompok penjagaan kesihatan terbesar dan terkemuka di Singapura.

Ia merangkumi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang mewujudkan rangka kerja jangka panjang bagi kerjasama dalam inovasi penjagaan kesihatan, penyelidikan klinikal, pendidikan serta simulasi perubatan.

Kerjasama ini menggabungkan rangkaian hospital pakar KPJ Healthcare di seluruh negara bersama Sistem Kesihatan KPJ (KPJ Health System – KPJHS), iaitu sistem kesihatan akademik swasta pertama di Malaysia.

SingHealth pula memiliki rangkaian hospital akut, hospital komuniti, pusat kepakaran nasional dan poliklinik yang menyediakan perkhidmatan merangkumi lebih 40 bidang kepakaran klinikal dan pembedahan, sekali gus diiktiraf sebagai antara kelompok penjagaan kesihatan akademik paling dihormati di Asia.

Berasaskan kekuatan yang saling melengkapi serta komitmen bersama terhadap kecemerlangan klinikal, kedua-dua organisasi akan bekerjasama dalam pembangunan bakat penjagaan kesihatan, memperkasa penyelidikan dan inovasi, meningkatkan keupayaan kepakaran perubatan serta menggalakkan pertukaran pengetahuan dan amalan terbaik.

Pengerusi Majlis Tadbir Urus KPJHS merangkap Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, berkata cabaran terbesar dalam sektor penjagaan kesihatan tidak mampu diselesaikan oleh satu institusi sahaja.

“Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama untuk saling belajar, membangunkan bakat penjagaan kesihatan masa depan dan memacu inovasi yang akhirnya meningkatkan kualiti penjagaan pesakit.

“Sesebuah kerjasama bukan ditentukan oleh dokumen yang ditandatangani, tetapi oleh masa depan yang dipilih untuk dibina bersama,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Kumpulan Kerjasama Antarabangsa dan Pengarah SingHealth Duke-NUS Global Health Institute serta Perunding Kanan Jabatan Pembedahan Hepatopankreatobiliari/Pemindahan Organ di Singapore General Hospital dan National Cancer Centre Singapore, Prof. London Lucien Ooi, berkata pemeteraian MoU itu melambangkan komitmen bersama dalam memajukan inovasi penjagaan kesihatan, penyelidikan klinikal, pendidikan dan simulasi perubatan demi manfaat masyarakat.

“MoU ini menyediakan rangka kerja kerjasama dalam beberapa bidang yang menjadi kepentingan bersama, termasuk inovasi penjagaan kesihatan, simulasi, pendidikan dan penyelidikan,” katanya.

Melalui MoU berkenaan, kedua-dua pihak akan menjalin kerjasama jangka panjang dalam beberapa bidang strategik, iaitu pendidikan klinikal dan pembangunan tenaga kerja, penyelidikan dan inovasi, kerjasama klinikal, kesihatan digital dan kecerdasan buatan (AI) serta pertukaran pengetahuan.

Kerjasama ini dijangka memperkukuh pertukaran kepakaran, meningkatkan keupayaan perkhidmatan pakar, menggalakkan kerjasama multidisiplin dan mewujudkan peluang inovasi baharu yang memberi manfaat kepada pesakit serta profesional penjagaan kesihatan.

Antara inisiatif awal yang dirancang termasuk program fellowship, penempatan latihan kepakaran, pertukaran akademik, penyelidikan bersama, penerbitan saintifik, persidangan, pembangunan kepimpinan penjagaan kesihatan, simulasi perubatan serta pengurusan bersama kes-kes klinikal yang kompleks.

Bagi KPJ Healthcare, kerjasama ini menyokong usaha memperkukuh Sistem Kesihatan KPJ melalui percepatan integrasi Amalan Klinikal, Pendidikan, Penyelidikan dan Inovasi menerusi kerjasama strategik antarabangsa.

Inisiatif tersebut akan dipacu melalui Future Health Institute (FHI), sebuah platform strategik yang mengintegrasikan empat teras berkenaan serta memudah cara kerjasama dengan institusi akademik dan rakan klinikal terkemuka di seluruh dunia.

Majlis pertukaran dokumen MoU diadakan di Johor Specialist Hospital.

Ketua Pengarah Perubatan KPJ Healthcare, Profesor Datuk Dr. Hanafiah Harunarashid, mewakili KPJ Healthcare bertukar dokumen dengan Prof. London Lucien Ooi yang mewakili SingHealth.

Majlis itu turut disaksikan Ketua Pegawai Operasi Operasi Kesihatan Bersekutu dan Runcit Kumpulan KPJ Healthcare, Dr Nik Fawaz Nik Abdul Aziz, serta Pengarah Pejabat Kerjasama Antarabangsa SingHealth, Vijaya Rao.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top