BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul berkata, seorang suspek remaja yang terlibat dalam kejadian tembakan maut di sebuah sekolah pada Jumaat dipercayai mengalami tekanan dan telah merancang serangan itu lebih awal.
“Polis telah menyoal siasat rakan rapatnya yang memaklumkan bahawa suspek mengalami tekanan berkaitan persekolahannya.
“Tindakannya juga menunjukkan bahawa dia jelas telah merancang (serangan tembakan) itu,” katanya kepada pemberita di luar sekolah menengah di wilayah Nonthaburi, yang bersempadan dengan Bangkok.
Senjata itu merupakan senjata api berdaftar dan disimpan di sebuah rumah, tetapi dia berjaya mendapatkannya.
Perdana Menteri menyatakan bahawa lebih daripada 30 orang cedera dengan kira-kira sembilan orang berada dalam keadaan kritikal.
Penembak itu dikenal pasti oleh media tempatan sebagai seorang pelajar sekolah tersebut.
Sementara itu, Menteri Pendidikan, Prasert Jantararuangtong berikrar untuk menyediakan bantuan kesihatan mental kepada para pelajar dan mempertingkatkan langkah keselamatan di institusi pendidikan.
“Kami belum memeriksa sama ada pelajar membawa senjata ke sekolah. Tahap keselamatan kami tidaklah begitu ketat,” katanya kepada pemberita di sekolah tersebut.
Remaja lelaki berusia 14 tahun itu digambarkan sebagai seorang yang mempunyai masalah peribadi dan sering dibuli oleh rakan sekelas, telah membunuh datuk dan neneknya sebelum menembak mati lima orang lagi di sebuah sekolah, kata polis.
Menurut kenyataan polis, remaja itu terlebih dahulu menembak mati datuk dan neneknya menggunakan pistol milik datuknya, kemudian pergi ke sebuah sekolah menengah di wilayah Nonthaburi yang bersempadan dengan Bangkok sebelum membunuh lima kakitangan sekolah.
Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa suspek itu juga meninggal dunia, dengan seorang pegawai polis memberitahu AFP bahawa remaja tersebut telah membunuh diri.
Pihak berkuasa sebelum ini melaporkan angka kematian yang lebih tinggi iaitu lapan orang termasuk suspek.
Wartawan AFP melihat berpuluh-puluh anggota polis dan pasukan kecemasan berkumpul di luar Sekolah Debsirin Nonthaburi yang telah dikepung manakala ibu bapa menunggu untuk menjemput anak-anak mereka.
Terdapat pelajar dan kakitangan yang sedang menangis saling menenangkan satu sama lain di luar kawasan sekolah. – AGENSI




