SHAH ALAM – Pas perlu mengemukakan bukti melalui saluran undang-undang sekiranya benar DAP dan Pakatan Harapan (PH) mempunyai agenda untuk menghapuskan Melayu dan Islam atau mengancam kedudukan Islam seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Wanita Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, tuduhan sedemikian bukan perkara kecil kerana menyentuh soal maruah, agama, bangsa dan kesetiaan kepada negara.
Beliau berkata, jika benar terdapat bukti DAP dan PH mengancam kedudukan Islam atau asas negara, ia perlu dibawa ke mahkamah dan institusi negara, bukan sekadar dijadikan bahan ceramah, kenyataan politik atau propaganda yang membakar emosi rakyat.
“Perjuangan yang benar tidak takut kepada mahkamah dan kebenaran. Jika ada bukti, bawa kepada institusi negara. Jangan biarkan tuduhan berat hanya menjadi bahan untuk membakar emosi rakyat.
“Jangan hanya mengulang retorik dakwaan dalam ceramah, kuliah, kenyataan media atau tulisan politik,” katanya dalam kenyataan di laman Facebooknya pada Sabtu.
Aiman Athirah yang juga Ahli Parlimen Sepang berkata, Malaysia mempunyai Perlembagaan Persekutuan, sistem kehakiman, undang-undang keselamatan negara dan institusi penguatkuasaan yang menyediakan saluran untuk mengambil tindakan sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang.
Beliau turut mempersoalkan mengapa Pas tidak mengambil tindakan ketika mempunyai ruang kuasa sekiranya benar DAP adalah ancaman terhadap Melayu dan Islam seperti yang sering didakwa.
“Pas pernah menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan serta pernah mempunyai kedudukan dalam pentadbiran tertinggi negara.
“Jika benar DAP dan PH adalah ancaman, mengapa ketika mempunyai ruang kuasa, Pas tidak mengambil tindakan undang-undang untuk mengharamkan DAP atau membawa bukti bahawa DAP melanggar Perlembagaan?” soalnya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan supaya Islam tidak dijadikan alat untuk menanam permusuhan, sebaliknya perjuangan atas nama agama perlu berasaskan ilmu, keadilan dan akhlak.
Katanya, umat Islam juga perlu mengelakkan sikap ghuluw dan budaya takfiri yang mudah menghukum atau melabel pihak lain sebagai musuh agama tanpa asas ilmu, bukti dan proses yang adil.
“Islam tidak mengajar kita membina kekuatan melalui fitnah dan sangkaan. Islam mengajar umat supaya melakukan tabayyun, iaitu menyelidik sebelum menghukum,” katanya.
Aiman Athirah berkata, mempertahankan Melayu dan Islam tidak memerlukan fitnah atau kebencian terhadap kaum lain.
“Melayu tidak akan kuat dengan membenci kaum lain. Islam tidak akan mulia dengan menghina manusia lain.
“Kekuatan Islam bukan dibina dengan mencari musuh yang sentiasa berubah, tetapi dengan menegakkan keadilan, ilmu, rahmah dan akhlak,” katanya.
Beliau sekali lagi mencabar Pas dan kepimpinan tertingginya membuktikan segala dakwaan berkenaan melalui saluran undang-undang.
“Jika benar segala dakwaan yang dilemparkan itu, buktikan dengan cara lebih berani di mahkamah. Bawa ke mahkamah. Bawa kepada institusi negara. Bawa bersama bukti,” katanya.



