Cuiabá, Brazil: Rakaman video di sebuah bangunan dewan undangan negeri di Brazil menunjukkan pekerja menggunakan kemahiran mengendalikan haiwan bagi mengeluarkan ‘penceroboh luar biasa’ iaitu sepasang kapibara, lapor United Press International (UPI).
Video berkenaan menunjukkan dua ekor kapibara iaitu haiwan pengerat terbesar di dunia berjalan dengan tenang memasuki Dewan Undangan Negeri Mato Grosso di Cuiabá sebelum meneroka ruang legar ketika ahli dewan bersiap sedia untuk sesi pengundian di bahagian lain bangunan itu.
Bagaimanapun, pergerakan kedua-dua haiwan berkenaan dihalang oleh penghadang keselamatan daripada memasuki kawasan lebih jauh di dalam bangunan.
Rakaman itu turut menunjukkan pekerja berusaha membimbing haiwan yang terkenal dengan sifatnya yang jinak dan mesra itu keluar dari bangunan.
Kedua-dua kapibara itu kemudiannya disertai seekor lagi kapibara yang muncul di kawasan terbabit.
Menurut pekerja, kapibara kadang kala dilihat berkeliaran di kawasan itu berikutan kedudukan bangunan yang berhampiran dengan Parque das Águas, yang menjadi habitat semula jadi haiwan berkenaan.
Kapibara juga sebelum ini pernah dilihat mandi di kolam pancutan air di hadapan bangunan selain menggunakan laluan pejalan kaki berdekatan.
Tiada kecederaan atau kerosakan pada bangunan dilaporkan susulan kehadiran haiwan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




