PRN Melaka: BN masih buka ruang rundingan agihan kerusi

PRN Melaka: BN masih buka ruang rundingan agihan kerusi

KUDAT: Barisan Nasional (BN) masih membuka ruang rundingan berhubung agihan kerusi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka termasuk berkaitan pertukaran kerusi.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, prinsip parti itu adalah menghormati kedudukan kerusi yang dimenangi oleh mana-mana parti, namun rundingan masih boleh dilakukan jika terdapat persetujuan untuk pertukaran kerusi dengan jumlah yang sama.

“Jika jujur dalam perundingan jangan mudah-mudah mempertahankan kerusi.

“Sebagaimana yang saya nyatakan, Ketua Menteri Melaka yang juga Pengerusi BN di peringkat Melaka menyatakan bahawa asasnya, sebarang perundingan di mana-mana kerusi yang dimenangi oleh mana-mana parti, kedudukan itu haruslah dihormati.

“Tetapi perundingan boleh dilakukan untuk swap atau pertukaran kerusi, asalkan jumlah kerusi itu sama,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Kebudayaan Rungus anjuran Persatuan Momogun Rungus Malaysia (PMRM) bertempat di Dewan (PMRM), di sini hari ini.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri itu turut berkata, prinsip berkenaan turut mengambil kira kedudukan parti yang menguasai negeri-negeri tertentu, dimana lazimnya tidak akan menyerahkan kerusi yang dimenangi kepada rakan politik.

“Jadi dalam keadaan begitu, saya fikir parti-parti lain yang menguasai negeri-negeri tertentu tentunya mempunyai pendirian yang sama.

“Mereka tidak akan menyerahkan kerusi yang mereka menangi kepada rakan-rakan kongsi politik. Tetapi kalau mereka boleh melakukannya dengan janji kejujuran, saya tidak nampak Ketua Menteri Melaka tidak boleh melakukannya,” katanya.

Menurutnya, selain pertukaran kerusi di Melaka, kemungkinan pertukaran kerusi di negeri lain yang dikuasai parti-parti tertentu juga boleh dipertimbangkan dalam rundingan.

“Jadi, pertama adalah bertukar (swap) kerusi yang kedua, kalau boleh bertukar kerusi di negeri-negeri lain yang dikuasai oleh mana-mana parti.

“Prinsip kami adalah tidak mustahil kalau pintu itu terus terbuka untuk perundingan. Tetapi jangan buka seluas-luasnya dan jangan tutup pintu itu serapat-rapatnya.

“Ini bermakna masih ada ruang untuk perundingan di dalamnya,” katanya.- UTUSAN

Scroll to Top