Dungun: Kira-kira enam jam selepas mengebumikan cucu kesayangannya yang maut akibat renjatan elektrik ketika bertugas di Beaufort, Sabah, seorang datuk meninggal dunia di Felda Kerteh 5, dekat sini, pagi tadi.
Harun Awang Ngah, 70, adalah datuk tiri kepada Konstabel Muhammad Raimi Ismarubee, 24, menghembuskan nafas terakhir pada 7.15 pagi ketika keluarga masih bersedih atas pemergian anggota polis berkenaan.
Bapa Muhammad Raimi, Ismarubee Ismail, 51, berkata, Harun yang menghidap kanser usus meninggal dunia di rumahnya, kira-kira enam jam selepas jenazah cucunya selesai dikebumikan pada 1.15 pagi.
Beliau berkata, Muhammad Raimi yang bertugas di Balai Polis Weston meninggal dunia pada 5.50 petang Khamis lepas selepas dipercayai terkena renjatan elektrik.
“Bapa tiri saya menangis apabila dimaklumkan cucunya meninggal dunia selepas terkena renjatan elektrik. Namun, hari ini bapa tiri saya pula meninggal dunia ketika masih bersedih atas kehilangan cucu kesayangannya,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Felda Kerteh 5 di sini hari ini.
Ismarubee berkata, Harun merupakan antara individu yang paling gembira apabila Muhammad Raimi menyertai pasukan polis pada 2024.
“Selain itu, anak saya rapat dengan datuk tirinya dan sering datang melawat setiap kali pulang bercuti di kampung,” katanya.
Semalam, Bernama melaporkan jenazah Muhammad Raimi yang maut dipercayai akibat renjatan elektrik di Jalan Weston, Kampung Weston, Beaufort, Sabah pada Khamis, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Kerteh 2, dekat sini, pada 1.15 pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 5.50 petang itu, Muhammad Raimi bersama Koperal Chiu Teck Siong, 40, dan Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, yang bertugas di balai polis sama, maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun dilaporkan berkata, ketiga-tiga anggota polis maut itu dipercayai sedang menjolok buah kelapa menggunakan galah besi sebelum alat itu terkena kabel elektrik di luar Balai Polis Weston.
© New Straits Times Press (M) Bhd




