Aliff Rakib buat kejutan! Hadiahkan ibu bapa rumah RM1 juta, bakal kahwini gadis Thailand

Aliff Rakib buat kejutan! Hadiahkan ibu bapa rumah RM1 juta, bakal kahwini gadis Thailand

Juara Dunia Interim ONE Strawweight Muay Thai, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib atau Aliff Rakib, 22, membuat kejutan apabila menghadiahkan sebuah banglo bernilai RM1 juta kepada ibu bapanya.

Hadiah istimewa itu diberikan kepada Suriati Che Wook, 46, dan Rakib Ahmad, 53, pada majlis meraikan kepulangan jaguh Muay Thai negara itu di Lembah Sireh, di sini hari ini.

Kejutan berkenaan mengundang sebak kedua-dua ibu bapanya sehingga menitiskan air mata ketika menerima hadiah tersebut.

Aliff Rakib berkata, pemberian rumah itu sebagai tanda penghargaan dan membalas jasa ibu bapanya yang sentiasa memberikan sokongan sehingga membolehkannya mencapai kejayaan dalam kerjaya.

“Alhamdulillah, hasil simpanan wang selama ini saya berjaya mengumpulnya dan menghadiahkan rumah banglo bernilai RM1 juta yang terletak di Rantau Panjang.
“Saya akan mengadakan majlis kesyukuran pada minggu hadapan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, kira-kira 2,000 rakyat Kelantan hadir meraikan kepulangan Aliff Rakib pada majlis yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pertubuhan Bukan Kerajaan dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan, Zamakhshari Muhamad.

Anak kedua daripada empat beradik itu turut memaklumkan akan membawa kedua-dua ibu bapanya menunaikan ibadah umrah tidak lama lagi.

Dalam perkembangan sama, Aliff Rakib bakal melangsungkan perkahwinan dengan gadis pilihannya dari Thailand dalam masa terdekat.

Aliff Rakib bersama bakal isterinya yang juga seorang gadis dari Thailand. [Kredit Foto: Sinar Harian]

Sebelum ini, Aliff Rakib mencipta sejarah dalam karier profesionalnya selepas menumbangkan legenda Muay Thai Thailand, Sam-A Gaiyanghadao, dalam pertarungan utama ONE Championship di Stadium Lumpinee, Bangkok, Thailand.

Scroll to Top