Cuaca panas landa Korea Selatan, warga emas 'sejukkan badan' di lapangan terbang

Cuaca panas landa Korea Selatan, warga emas 'sejukkan badan' di lapangan terbang

Seoul: Ketika Korea Selatan dilanda gelombang haba luar biasa dengan suhu mencatatkan rekod tertinggi, Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon di sini bertukar menjadi ‘tempat perlindungan’ tidak rasmi bagi orang ramai yang mahu melepaskan diri daripada bahang cuaca, lapor The Korea Herald.

Laporan media tempatan sepanjang minggu lalu mendapati warga emas menghabiskan masa berjam-jam di dalam terminal berkenaan, bermain permainan, berkongsi bekalan makanan dan berehat di atas bangku sambil menikmati kesejukan pendingin hawa.

Lapangan terbang itu menjadi pilihan kerana menyediakan pelbagai kemudahan secara percuma termasuk penyaman udara, tempat duduk, Wi-Fi, kemudahan mengecas telefon dan tandas.

Lebih menarik, warga Korea Selatan berusia 65 tahun ke atas boleh menggunakan perkhidmatan kereta api bawah tanah tanpa perlu membayar tambang.

Data daripada Perkhidmatan Kereta Api Lapangan Terbang menunjukkan jumlah penumpang warga emas meningkat dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Golongan berusia 65 tahun ke atas merekodkan 1.65 juta perjalanan pada Julai lalu iaitu meningkat tujuh peratus berbanding bulan sama tahun sebelumnya dan lebih 20 peratus berbanding Julai 2024.

Bagaimanapun, data berkenaan tidak menunjukkan berapa banyak perjalanan itu dibuat khusus oleh warga emas yang mencari perlindungan daripada gelombang haba.

Populariti lapangan terbang itu bagaimanapun menimbulkan persoalan sama ada langkah perlindungan daripada gelombang haba yang disediakan pihak kerajaan benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan.

Media tempatan turut mengetengahkan kurangnya kesedaran dalam kalangan warga emas mengenai pusat perlindungan haba yang disediakan pihak berkuasa tempatan selain isu bayaran yang dikenakan di kebanyakan lokasi berkenaan.

Kira-kira 70 peratus daripada 4,034 pusat perlindungan haba yang dikendalikan oleh Seoul beroperasi berasaskan keahlian manakala hanya 202 pusat diumumkan secara terbuka untuk kegunaan orang ramai.

Dalam perkembangan sama, golongan gelandangan turut dikesan menjadikan Lapangan Terbang Incheon sebagai tempat berlindung sepanjang cuaca panas ekstrem sekali gus menambah cabaran kepada pihak pengurusan lapangan terbang.

Perkhidmatan Operasi Lapangan Terbang Incheon yang menguruskan operasi di lapangan terbang itu mengklasifikasikan tempoh penginapan gelandangan kepada dua kategori iaitu jangka pendek dan jangka panjang. Penginapan jangka panjang ditakrifkan sebagai tempoh dua minggu atau lebih.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top