am@hmetro.com.my
Johor Bahru : Kementerian Pertahanan menyambut baik dan mengalu-alukan usaha mempermudah dan mempercepatkan proses kenaikan pangkat pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM), memandangkan perkara itu sudah dikemukakan kementerian berkenaan sejak 2022.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, isu struktur organisasi dan perjawatan ATM sememangnya sudah diberi perhatian kementeriannya sejak 2022, seiring perancangan mewujudkan Angkatan Masa Hadapan.
“Perkara yang dinyatakan itu sudah diangkat dan sentiasa diperjuangkan oleh Kementerian Pertahanan, kita mohon supaya dapat diperbaiki struktur yang dihadapi oleh anggota tentera kita.
“Beberapa perkara sudah dikemukakan kepada kerajaan yang mana sebahagiannya sudah diluluskan dan sebahagiannya dalam pertimbangan.
“Sejak 2022, kita sudah nyatakan perlu melihat semula struktur organisasi dan perjawatan memandangkan kita sudah merancang untuk mewujudkan Angkatan Masa Hadapan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Kesyukuran Barisan Nasional (BN) Pasir Gudang di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkara itu yang sedang diteliti Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, sebelum dijangka diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Malam Ambang Merdeka di Stadium Merdeka, 30 Ogos ini.
Mohamed Khaled berkata, dengan adanya Angkatan Masa Hadapan untuk dijayakan struktur organisasi perlu dilihat semula dan juga perjawatan.
“Apabila berlaku pelaksanaan SSPA (Sistem Saraan Perkhidmatan Awam), kita telah mengemukakan beberapa cadangan penambahbaikan kepada pihak JPA sejak Mac 2025 dan sebahagian penambahbaikan itu sudah diluluskan dan sebahagian lagi masih menunggu keputusan,” katanya.
Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi itu berkata, Kementerian Pertahanan sebelum ini mengemukakan tiga komponen utama penambahbaikan iaitu struktur dan organisasi ATM, penambahbaikan gred serta kemajuan kerjaya, selain elaun dan kemudahan untuk warga pasukan itu.
Katanya, penambahbaikan struktur dan perjawatan amat penting kerana terdapat pegawai yang mempunyai kompetensi serta prestasi tinggi, namun kemajuan kerjaya mereka masih terhad akibat kekosongan dalam struktur perjawatan sedia ada.
“Walaupun mereka sangat kompeten tetapi kerana tidak ada kekosongan, tidak dapat menaikkan pangkat. Kita mahu memastikan terdapat kesepadanan antara pangkat, gred, tahap tanggungjawab dan peranan strategik yang dipikul oleh warga ATM,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




