Harimau Malaya mara ke separuh akhir Piala ASEAN 2026

Harimau Malaya mara ke separuh akhir Piala ASEAN 2026

KUALA LUMPUR: Harimau Malaya menepati ramalan apabila mengesahkan tiket ke separuh akhir Piala ASEAN 2026 selepas menewaskan Filipina 1-0 dalam aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Kemenangan berharga itu membolehkan skuad kendalian Tan Cheng Hoe menamatkan saingan sebagai naib juara kumpulan dengan mengumpul sembilan mata, tiga mata di belakang Thailand yang muncul juara kumpulan selepas menewaskan Myanmar 2-0 di Bangkok.

Kejayaan mara ke kelompok empat terbaik menyaksikan Malaysia bakal berdepan cabaran getir menentang juara bertahan, Vietnam pada aksi separuh akhir yang dijadual berlangsung secara timbal balik pada 16 dan 19 Ogos ini.

Di hadapan ribuan penyokong yang memenuhi stadium, Harimau Malaya bermula garang dan berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-16 menerusi tandukan kemas G Pavithran hasil hantaran lintang tepat Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal yang membuat penampilan sulung dalam kesebelasan utama.

Jaringan itu menyuntik keyakinan buat skuad negara, namun Filipina tidak mengalah apabila cuba bangkit menerusi beberapa serangan balas berbahaya, termasuk percubaan Javier Gayoso yang tersasar serta rembatan Javier Mariona yang berjaya ditepis oleh penjaga gol negara, Azri Ghani.

Harimau Malaya mara ke separuh akhir Piala ASEAN 2026

Malaysia turut berpeluang menambah jaringan sebelum tamat babak pertama, namun Mohamadou Sumareh gagal memanfaatkan hantaran sepakan bola mati Wan Kuzain untuk menghasilkan penyudah yang lebih berkesan.

Pada separuh masa kedua, Harimau Malaya terus menguasai permainan dan mencipta beberapa peluang, namun ketumpulan penyudah menghalang mereka daripada menambah jaringan.

Filipina hampir menghukum tuan rumah pada minit ke-75 menerusi percubaan Pocholo Bugas, namun bola hanya sedikit melepasi palang.

Pavithran hampir menggandakan jaringan apabila berjaya mengatasi penjaga gol Filipina, Patrick Deyto ketika perlawanan berbaki lima minit, namun pertahanan Jaime Rosquillo bertindak pantas mengeluarkan bola di hadapan gawang untuk menggagalkan jaringan kedua Malaysia.

Meskipun hanya mampu meledak satu gol namun ia sudah memadai untuk Harimau Malaya meneruskan cabaran dalam memburu kejuaraan ASEAN 2026.

Satu lagi aksi separuh akhir melibatkan pertembungan Thailand menentang naib juara Kumpulan A, Singapura.-UTUSAN

Scroll to Top