Kuala Lumpur : Pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz menyifatkan gelaran jejaka kedua tertampan di Malaysia yang diberi Datuk M Nasir sebagai gurauan semata-mata.
Aliff, 35, berkata, dia mahu memberi tumpuan penuh bagi menghidupkan watak legenda dalam projek Teater Muzikal Mansur & Liu arahan M Nasir yang bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya, di sini, bulan depan.
“Saya fikir M Nasir hanya bercanda dan bergurau saja. Saya mahu fokus bagaimana untuk hidupkan watak Sultan Mansur Shah. Ini tidak semestinya mengenai apa yang watak itu ada atau bagaimana rupa dan sebagainya,” katanya pada sidang media Teater Muzikal Mansur & Liu di Istana Budaya, di sini, semalam.
Mengulas pemilihannya sebagai Sultan Mansur Shah, Aliff berkata, proses uji bakat yang dikendalikan M Nasir bersama isterinya, Datin Marlia Musa selaku penerbit bersama turut membabitkan penilaian daripada segi nyanyian, lakonan dan pergerakan.
“Pada pendapat saya, di mata mereka, mungkin saya ada rupa yang mereka inginkan untuk watak Sultan Mansur Shah.
“Jadi, ia bermula dari situ dan sudah semestinya kami perlu menjalani uji bakat untuk nyanyian, lakonan dan pergerakan. Saya tidak tahu bagaimana hendak jelaskan, tetapi saya fikir ini adalah rezeki.
“Saya sangat berterima kasih kepada M Nasir dan Marlia kerana beri kepercayaan untuk saya memainkan watak utama dalam pementasan Teater Muzikal Mansur & Liu ini,” katanya.
Berkongsi pengalaman pertama kali bekerja di bawah arahan M Nasir, Aliff mengakui berdebar, namun menganggap peluang itu sebagai ruang terbaik untuk menimba ilmu daripada figura berkenaan.
“Saya memang terkesima dan berdebar. Tetapi M Nasir sangat kurang bercakap. Apabila beliau berkata-kata, saya akan terfikir, begini rupanya’.
“Beliau tidak lokek dengan ilmu. Apa saja yang saya hendak tanya, beliau akan berikan pencerahan. Kadang-kadang ketika kami sedang menjalani latihan, saya tengok beliau tutup mata dan menghayati,” kata artis kelahiran Singapura itu.
Teater muzikal sulung arahan M Nasir itu turut membariskan pelakon seperti Melinda Dadew, Amerul Affendi, Sherry Alhadad, Hazama, Taqim Zaki, Brian Chan, Fadhli Masoot, Anas Ridzuan, Arena Wan, Ruzana Ibrahim, Fiza Thomas, Taufiq Izmir, Marzuki Noh dan Shahrul Mizad.
Dipentaskan Roman Abadi bersama Icon Entertainment, Teater Muzikal Mansur & Liu bakal mempersembahkan 30 lagu dan skor muzik asli ciptaan M Nasir.
© New Straits Times Press (M) Bhd




