Ronaldo terus 'kayangan', gaji RM18.9 juta seminggu

Ronaldo terus 'kayangan', gaji RM18.9 juta seminggu

Riyadh: Cristiano Ronaldo terus membuktikan dirinya bukan sekadar bintang utama Liga Pro Saudi apabila menjadi pemain bergaji paling tinggi di dunia untuk musim 2026/27.

Bintang Portugal itu menerima gaji sekitar €4 juta (RM18.9 juta) seminggu bersama Al Nassr, jauh mengatasi pemain lain dalam senarai pendapatan tertinggi Liga Pro Saudi.

Jumlah itu bersamaan kira-kira €208 juta (RM983.5 juta) setahun berdasarkan gaji mingguan berkenaan, sekali gus mengekalkan Ronaldo di puncak senarai pemain berpendapatan tertinggi.

Ronaldo mengatasi penyerang Al Hilal, Karim Benzema yang menerima sekitar €2.3 juta (RM10.8 juta) seminggu, manakala rakan sepasukannya di Al Nassr, Sadio Mane berada di tempat ketiga dengan €769,000 (RM3.6 juta) seminggu.

Turut berada dalam kelompok lima teratas ialah pertahanan Al Hilal, Kalidou Koulibaly dengan €667,000 (RM3.1 juta) seminggu, manakala Ivan Toney dan Sergej Milinkovic-Savic berkongsi tempat kelima dengan €490,000 (RM2.3 juta) seminggu.

Senarai itu dikumpulkan berdasarkan data daripada Capology, SalaryLeaks serta laporan media.

Gaji lumayan itu hadir selepas Ronaldo akhirnya membantu Al Nassr menamatkan penantian trofi liga apabila kelab berkenaan muncul juara Liga Pro Saudi musim lalu.

Ronaldo turut memainkan peranan penting pada hari terakhir musim apabila meledak dua gol dalam kemenangan 4-1 ke atas Damac untuk mengesahkan kejuaraan.

Ia menjadi trofi kelab pertama Ronaldo sejak membantu Juventus memenangi Coppa Italia pada 2021, sekali gus menamatkan penantian panjangnya untuk kembali menjulang kejuaraan liga.

Kini, pemain berusia 41 tahun itu kembali memberi tumpuan kepada misi mempertahankan kejuaraan bersama Al Nassr apabila musim baharu Liga Pro Saudi bakal bermula.

Dengan gaji €4 juta seminggu, Ronaldo bukan sahaja kekal sebagai wajah paling berprofil tinggi liga berkenaan, malah terus bergelar pemain dengan bayaran tertinggi dalam dunia bola sepak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top