Lima mayat ditemukan di Banjaran Himalaya, 9 bulan lepas runtuhan salji

Lima mayat ditemukan di Banjaran Himalaya, 9 bulan lepas runtuhan salji

Kathmandu: Lima mayat ditemukan di Banjaran Himalaya, sembilan bulan selepas kejadian runtuhan salji di kawasan pergunungan itu, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Pihak berkuasa Nepal tidak menolak kemungkinan mayat berkenaan ialah lima pendaki yang dilaporkan hilang sejak kejadian itu, termasuk seorang warga Jerman.

Bagaimanapun, mayat berkenaan dilaporkan masih belum dibawa keluar atau dikenal pasti.

Kejadian itu berlaku di Yalung Ri, sebuah gunung setinggi 5,630 meter.

Ketua majlis tempatan Gaurishankar di sempadan Tibet, Biswash Karki memberitahu dpa bahawa beliau percaya mayat berkenaan ialah pendaki yang hilang.

Mayat itu dilaporkan ditemukan pada Khamis di bawah kawasan puncak.

Bagaimanapun, sebuah helikopter yang dihantar untuk membawa keluar mayat terpaksa berpatah balik pada Jumaat berikutan cuaca buruk, manakala pasukan penyelamat kekal siap sedia.

Lima individu yang hilang itu merupakan sebahagian daripada kumpulan 15 pendaki yang dilanda runtuhan salji pada November tahun lepas ketika cuba mendaki puncak Yalung Ri.

Mayat dua malim gunung warga Nepal ditemukan ketika kejadian itu, manakala lapan lagi anggota kumpulan berkenaan berjaya diselamatkan.

Selain warga Jerman, dua warga Itali serta masing-masing seorang pendaki dari Perancis dan Kanada turut dilaporkan hilang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top