PENAMPANG: Kerajaan Sabah akan terus menuntut pelaksanaan penuh hak pemberian 40 peratus hasil Persekutuan kepada negeri itu seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, tuntutan berkenaan akan terus dibawa menerusi rundingan kerajaan dengan kerajaan (G to G) bersama Kerajaan Persekutuan.
Katanya, pemberian 40 peratus itu merupakan antara hak terbesar Sabah di bawah MA63 selain termaktub dalam Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
“Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan negeri di bawah kepimpinan saya akan terus menuntut pelaksanaan penuh pembayaran 40 peratus melalui proses rundingan G to G dengan Kerajaan Persekutuan kerana hak 40 peratus merupakan hak terbesar kita dalam MA63, juga seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
“Hak ini mesti ditunaikan oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya pada Sambutan Ulang Tahun Ke-32 UPKO dan Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO Ke-17 di Dewan Hongkod Koisaan, Pusat Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), di sini, malam ini.
Hajiji berkata, pendirian kerajaan negeri itu akan terus dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan, termasuk dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MA63 yang berlangsung di Putrajaya pada 3 Ogos lalu.
Katanya, Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick, turut menghadiri mesyuarat berkenaan sebagai antara delegasi kerajaan negeri.
Menurutnya, setakat ini sebanyak 13 tuntutan berkaitan MA63 sudah dilaksanakan, antaranya kawal selia tenaga, pelesenan dan penangkapan laut dalam, pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di bawah Arahan Perbendaharaan 182, pentadbiran badan kehakiman di Sabah, pentadbiran Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan, tenaga buruh serta alam sekitar.
Mengulas tuntutan 40 peratus itu, Hajiji berkata, walaupun ia belum dilaksanakan sepenuhnya termasuk satu rayuan berkaitan oleh Kerajaan Persekutuan di Mahkamah Rayuan, kerajaan negeri menerima pelaksanaan secara interim yang ditingkatkan daripada RM26 juta kepada RM1.5 bilion bermula tahun ini.
Katanya, peningkatan bayaran interim itu akan dimanfaatkan untuk pembangunan infrastruktur serta kebajikan rakyat Sabah.
“Kita mengalu-alukan keputusan Perdana Menteri meningkatkan jumlah bayaran interim ini dan kita akan menggunakan hasil ini untuk membina lebih banyak jalan raya berturap di Sabah, membina jambatan konkrit, menambah baik bekalan air dan elektrik serta agenda pembangunan dan kebajikan rakyat Sabah seperti pembinaan lebih banyak Rumah SMJ dan Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR).
“Pendek kata, apa yang kita perolehi daripada Kerajaan Persekutuan akan kita pulangkan semula kepada rakyat dalam pelbagai bentuk insentif dan bantuan,” katanya. – UTUSAN
