JAKARTA – Kebakaran hutan dan tanah di kawasan Gunung Bromo semakin serius apabila kira-kira 520 hektar kawasan disahkan terbakar termasuk sekitar 300 hektar yang musnah dalam satu malam.
Keadaan itu memaksa operasi pemadaman dipergiat dari darat dan udara dengan penggunaan helikopter water bombing dimaksimumkan bagi mengekang penularan api terutama di kawasan yang sukar diakses pasukan darat.
Menteri Kehutanan Indonesia, Raja Juli Antoni berkata, penggunaan helikopter water bombing akan diteruskan selagi kebakaran masih belum berjaya dipadamkan.
Menurut Raja Juli, operasi pemadaman dari udara menjadi antara strategi penting untuk mencapai lokasi kebakaran yang sukar diakses anggota bertugas dari darat.
“Setakat hari ini, operasi boleh dilakukan sehingga jam 5 petang waktu tempatan berikutan keadaan cuaca yang baik.
“Semalam, operasi hanya dapat dilakukan sehingga jam 1.30 petang kerana angin kencang dan kabus kembali menyelubungi kawasan. Bermula hari ini, cuaca cerah,” katanya seperti dilaporkan detikJatim pada Isnin.
Operasi water bombing kali ini dipertingkatkan berikutan keadaan cuaca yang menggalakkan.
Dalam keadaan ideal, sebuah helikopter boleh melakukan sehingga 30 kali siraman air dalam sehari.
“Jika kebakaran masih belum padam, operasi mungkin perlu diteruskan sehingga api benar-benar padam,” ujarnya lagi.
Sebelum itu, Raja Juli yang diiringi pegawai Taman Nasional Bromo Tengger Semeru (TNBTS), Tentera Nasional Indonesia (TNI), Polis Republik Indonesia (Polri) dan ketua daerah yang terjejas melakukan tinjauan operasi pemadaman pada Ahad.
Beliau turut memantau operasi pemadaman dari darat dan udara, termasuk di beberapa lokasi yang masih mengalami kebakaran seperti Tebing P-30 di Kecamatan Sumber, Kabupaten Probolinggo dan kawasan sekitar Gunung Dingklik di Kecamatan Tosari, Kabupaten Pasuruan.
Berdasarkan data awal yang telah disahkan kawasan Bromo yang terbakar dianggarkan seluas 520 hektar dengan kira-kira 300 hektar daripada jumlah itu terbakar pada malam sebelumnya.
Raja Juli turut meminta Balai Besar Taman Nasional Bromo Tengger Semeru meningkatkan kesiapsiagaan sepanjang 24 jam.
Anggota bertugas diminta memantau lokasi yang masih mengeluarkan asap serta memastikan bara api tidak kembali marak dan mencetuskan kebakaran baharu.
Sementara itu, empat laluan masuk ke kawasan Bromo dari Kabupaten Malang, Lumajang, Pasuruan dan Probolinggo ditutup sepenuhnya sepanjang operasi pemadaman.
Penutupan itu akan berkuat kuasa sehingga tempoh yang belum ditetapkan.
Langkah berkenaan diambil demi keselamatan pelancong selain memudahkan anggota bertugas menjalankan operasi pemadaman kebakaran di kawasan Bromo.
