Tikus ‘rompak’ barang kemas bernilai RM50,000

NEW DELHI – Seekor tikus menjadi suspek paling tidak disangka dalam kes rompakan barang kemas selepas kamera keselamatan merakam haiwan perosak itu ‘melarikan’ cincin dan rantai emas bernilai kira-kira AS$12,000 (RM50,000) dari sebuah kedai di selatan India.

Kejadian pelik itu berlaku di sebuah kedai barang kemas di Tumakuru, negeri Karnataka apabila pekerja mendapati beberapa barang kemas hilang ketika melakukan pemeriksaan stok secara rutin.

Pekerja berkenaan meneliti rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) selepas tiada tanda premis itu dipecah masuk. Mereka terkejut apabila melihat kelibat seekor tikus berulang kali mengheret cincin dan rantai dari kawasan pameran melalui satu lubang kecil di bawah kedai.

Staf itu kemudiannya menjejaki laluan tikus tersebut dan menemui rangkaian terowong yang menuju ke sarangnya di bawah lantai kedai.

Kesemua barang kemas yang ‘dilarikan’ akhirnya ditemui tersorok di dalam sarang tersebut.

Insiden ‘rompakan’ luar biasa itu mendapat perhatian di media sosial manakala pemilik kedai meluahkan rasa lega selepas semua barang kemas yang dicuri berjaya ditemukan semula dalam keadaan baik. – Agensi

 

Scroll to Top