khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bagi menyatukan semula jemaah haji musim 1447H / 2026M, pengendali pakej ibadah haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) menganjurkan sebuah majlis dikenali sebagai ‘Cantuman Rindu Haramain’.
Pengarah yang juga penasihat undang-undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, seramai 305 daripada 500 jemaah diraikan dalam majlis kemuncak itu.
Beliau berkata, majlis terakhir seperti ini diadakan setiap tahun bagi meraikan jemaah haji yang mengambil pakej Andalusia, selepas mereka pulang ke negara ini.
“Ramai jemaah haji, bila berada di sana (mengerjakan haji) mereka akan fokus kepada ibadah.
“Pada masa sama, disebabkan mereka tinggal di sana dalam tempoh yang lama, kebanyakannya mempunyai ikhuwah yang sangat baik.
“Bila kita adakan majlis seperti ini, mereka menghargainya untuk menyatukan mereka semula,” katanya ketika ditemui pemberita semasa majlis ‘Cantuman Rindu Haramain’ di ibu negara.
Ida Riswana turut menyifatkan kebanyakan jemaah akan menjadi rapat antara satu sama lain, selain mereka juga sanggup bersusah-payah antara satu sama lain apabila mengerjakan haji.
Selain itu katanya, majlis seumpama ini juga merupakan salah satu cara Andalusia untuk menyantuni jemaah haji yang mengambil pakej mereka.
“Bila kita sudah raikan mereka begini, kita boleh gambarkan kepada mereka yang bakal menjadi jemaah haji 1448H.
“Insya-Allah tak lama lagi, kita jangkakan surat tawaran akan keluar dalam bulan September. Kita harap sesiapa yang mendapat tawaran itu nampak bagaimana cara kita menyantuni jemaah haji Andalusia,” katanya.
Dalam pada itu, Ida Riswana semasa ucapannya mengucapkan penghargaannya kepada jemaah haji yang mengambil pakej bersama Andalusia.
Menurutnya, sebagai pengendali pakej ibadah haji dan umrah, pelbagai perkara yang mereka pelajari selain berjanji akan memperbaiki servis diberikan kepada para jemaah.
“Terima kasih kerana percayakan kami tahun demi tahun. Alhamdulillah, tahun ini Andalusia telah mencecah tahun yang ke-24.
“Mudah-mudahan Andalusia ini menjadi satu legasi yang berpanjangan sehingga ke anak cucu kita,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md Daud Che’ Ngah berkata, majlis ‘Cantuman Rindu Haramain’ disifatkan dapat mengikat kasih sayang antara jemaah haji dan Andalusia.
Beliau berkata, majlis seumpama ini boleh dijadikan platform oleh pihak jemaah untuk memaklumkan kepada orang ramai bahawa Andalusia mempunyai kebertanggungjawaban yang tinggi dalam mengendalikan pakej haji dan umrah.
Md Daud berkata, menerusi majlis seumpama ini juga, hubungan sesama jemaah semakin rapat dan mereka kemudian akan membuat ‘reunion’ di program lain.
“Kadang-kadang (program) jauh pun dia pergi juga atas dasar ingat pada kawan yang duduk sama satu bilik, satu hotel, apatah lagi di bawah bimbingan Andalusia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
