DKU mohon jadi pencelah kes semakan kehakiman singkir Tuanku Muhriz

ajohari@bh.com.my

Kuala Lumpur: Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU) dan setiausahanya memohon untuk menjadi pencelah dalam permohonan kebenaran bagi memulakan prosiding semakan kehakiman untuk menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Permohonan kebenaran semakan kehakiman itu dikemukakan tiga bekas Undang Negeri Sembilan dan seorang lagi Undang yang masih memegang jawatan pada 17 Julai lalu.

Tiga bekas Undang adalah Datuk Mubarak Thahak (yang statusnya sebagai Undang Sungai Ujong dipertikaikan), Datuk Maarof Mat Rashid (bekas Undang Jelebu), Datuk Abd Rahim Yasin (bekas Undang Rembau) dan Datuk Muhammed Abdullah (Undang Johol yang masih memegang jawatan).

Mereka yang bertindak sebagai pemohon, menamakan Menteri Besar Negeri Sembilan dan Kerajaan Negeri selaku responden dalam permohonan kebenaran semakan kehakiman berkenaan.

Sementara itu, DKU dan setiausahanya, Raja Norazli Raja Nordin melalui permohonan difailkan pada 6 Ogos lalu, memohon untuk mencelah dan dijadikan sebagai pihak dalam permohonan kebenaran semakan kehakiman terbabit dan supaya pemohon dalam kes berkenaan diarahkan menyerahkan kepada mereka keseluruhan dokumen prosiding.

Peguam Kanan Persekutuan, Nurhafizza Azizan ketika ditemui selepas prosiding kes itu hari ini, memberitahu media, Mahkamah Tinggi menyarankan pemohon berbincang dan memutuskan sama ada ingin meneruskan kes berkenaan di sini atau memindahkannya ke Mahkamah Tinggi Seremban.

Nurhafizza berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Hakim Norliza Othman pada sebutan permohonan kebenaran semakan kehakiman yang dijalankan di kamar hakim.

“Ada tiga permohonan di hadapan mahkamah hari ini termasuk permohonan untuk menjadi pencelah.

“Bagaimanapun, mahkamah meminta pemohon (dalam permohonan kebenaran semakan kehakiman) untuk menentukan sama ada ingin memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi Seremban berikutan terdapat permohonan serupa di sana.

“Mahkamah kemudian menetapkan 7 Oktober ini untuk pemohon memaklumkan mahkamah status perkara itu,” katanya.

Berdasarkan kepada dokumen, permohonan mencelah itu dibuat atas alasan antaranya Mubarak, Maarof, Abd Rahim dan Muhammed tidak mempunyai sebarang locus standi (hak di sini undang-undang) untuk memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman.

Selain itu, terdapat juga permohonan komital terhadap mereka di Mahkamah Tinggi Seremban. Sehubungan itu, Raja Norazli dan DKU menyatakan mereka wajar dibenarkan untuk mencelah dan mengambil bahagian di dalam prosiding berkaitan.

Raja Norazli dan DKU turut memohon penggantungan prosiding semakan kehakiman kerana terdapat keadaan khas yang mewajarkannya sementara menunggu pelupusan penuh dan muktamad permohonan mencelah itu bagi memastikan kes tidak menjadi sia-sia atau bersifat akademik.

Sementara itu, dalam afidavit permohonan kebenaran semakan kehakiman pula, pemohon menyatakan mereka menghadiri mesyuarat DKU yang dipengerusikan Tuanku Muhriz pada 5 Mac lalu yang mana Mubarak didakwa membangkitkan beberapa dakwaan berkaitan pelanggaran adat.

Muhammed berkata, mesyuarat berkenaan menjadi tegang sebelum keempat-empat mereka meninggalkan mesyuarat dan berkumpul di Balai Undang Sungai Ujong.

Di Balai Undang itu, mereka membincangkan dakwaan berhubung kesalahan dan pelanggaran adat sebelum membuat kesimpulan bahawa Tuanku Muhriz tidak lagi layak untuk terus memegang jawatan Yang di-Pertuan Besar.

Antara relif yang dimohon mereka dalam semakan kehakiman, ialah perintah mandamus untuk memaksa Menteri Besar menandatangani satu dokumen pemasyhuran yang didakwa bertujuan menyingkirkan Tuanku Muhriz.

Ia seterusnya untuk mengisytiharkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Jaafar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12.

Mereka turut memohon perisytiharan bahawa dokumen pemasyhuran ditandatangani mereka pada 19 April lalu adalah sah di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top