Duda didakwa cabul wanita dalam stor kilang

nfazlina@nstp.com.my

Machang : Seorang pekerja kilang mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan kekerasan untuk mencabul seorang wanita di dalam stor sebuah kilang di Kuala Krai, minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Zamri Abdullah, 24, membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang berstatus duda itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah kepada seorang wanita berusia 22 tahun dengan bermaksud untuk mencabul kehormatan.

Perbuatan itu dilakukan di dalam stor sebuah kilang di Jalan Stapunal Batu Jong dekat Kuala Krai jam 1.40 tengah hari pada 3 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana daripada dua hukuman berkenaan jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Hazim Aqiffullah Mohd Amran manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Norfaraliana Othman.

Terdahulu, Ahmad Hazim mencadangkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu tarikh hukuman.

Norfaraliana dalam rayuannya memohon ikat jamin yang minimum dan memaklumkan tertuduh bekerja di sebuah kilang dengan pendapatan RM1,700 sebulan.

“Pada masa sama tertuduh perlu menyara ibu bapa yang sudah uzur dan seorang anak berusia setahun enam bulan,” katanya.

Mahkamah kemudiannya menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu tertuduh atau ejennya dilarang menghampiri, menghubungi, kacau ganggu mangsa atau mana-mana saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 11 Ogos ini untuk prosiding hukuman.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top