Tangguh perbahasan RCI TH, tunggu Anwar – Hamzah

KUALA LUMPUR – Tiada keperluan meneruskan perbahasan mengenai Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) di Parlimen sekiranya Perdana Menteri tidak dapat hadir untuk memberikan penjelasan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perkara itu sewajarnya ditangguhkan terlebih dahulu bagi membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir dan membahaskan isu berkenaan, terutama apabila RCI telah dilakukan kira-kira tiga tahun lalu.

“Kalau isunya besar kepada dia sebagai Perdana Menteri, apa yang patut dibuat? Dia beritahu dengan Speaker, tangguhkan dahulu.

“Sebab nak tunggu dia sendiri untuk membahaskan isunya, bukan semata-mata kerana lontaran telah dilakukan,” katanya kepada Sinar Harian dalam sesi wawancara eksklusif, pada Isnin.

Sebelum ini Anwar dilapor sedang menjalani pemeriksaan serta prosedur yang ditetapkan oleh pasukan pakar perubatan dan dijangka berada di bawah pemantauan selama dua hari.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah.

Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bagi membahaskan laporan RCI TH dijadual berlangsung pada Selasa, dimulakan dengan sesi penerangan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Hasan.

Sesi perbahasan itu kemudian dijangka digulung oleh Zulkifli dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Dalam pada itu Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut turut mempersoalkan tindakan membawa semula isu berkenaan ke Parlimen selepas tempoh yang begitu lama.

Menurutnya, isu berkenaan mula dilontarkan oleh Perdana Menteri ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebelum cadangan mengadakan sidang khas bagi membincangkan perkara tersebut.

“Sebelum ini ada kenyataan Anwar melawat beberapa orang di hospital dan hari ini, beliau dilaporkan mendapat rawatan selama dua hari.

“Sekiranya Perdana Menteri menjalani rawatan, perkara itu perlu diambil kira sebelum perbahasan mengenai isu RCI TH diteruskan.

“Kalau isu ini besar kepada dia sebagai Perdana Menteri, beliau sepatutnya bagi tahu kepada Speaker untuk tangguhkan dahulu sesi berkenaan sebab nak tunggu dia sendiri membahaskan isu ini sebagai isu yang besar,” ujarnya.

Laporan RCI setebal 211 halaman mengenai TH yang diterbitkan pada 29 Julai lepas mendedahkan pelbagai penemuan berkaitan kelemahan pengurusan dan operasi institusi itu bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Antara dapatan utama RCI ialah kelemahan tadbir urus, termasuk campur tangan politik dalam pengurusan serta pengagihan keuntungan tanpa mengambil kira kesan rosot nilai dan kejatuhan nilai saksama pelaburan.

 

 

Scroll to Top