lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kanak-kanak berusia 10 tahun dari Johor Bahru muncul johan pertandingan bahasa Inggeris, Hippo English Without Borders di Doha, Qatar, semalam.
Wan Harriz Wan Abdul Qayyum Wan Harriz Wan Abdul Qayyum dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Utara berjaya mendapat tempat pertama daripada 14 peserta dari tiga negara merangkumi Malaysia, Arab Saudi dan Kyrgyzstan.
Kejayaan itu membolehkan Wan Harriz layak ke World Final di Spoleto, Itali pada 28 September hingga 1 Oktober depan.
Ibunya, Nur Saliha Ali Shastry, 34, berkata, kejayaan itu amat membanggakan selepas anaknya melalui pelbagai cabaran sepanjang berada di Doha, termasuk masih dalam proses pemulihan daripada jangkitan influenza sebelum berlepas.
Suri rumah itu berkata, pengalaman itu lebih bermakna apabila ia adalah penerbangan pertama dan kunjungan pertama anak sulung daripada tiga beradik itu ke luar negara bagi menyertai pertandingan.
“Memang rasa sangat teruja apabila pertama kali sampai di Qatar pada 2 Ogos lalu. Sebagai ibu, saya juga rasa teruja dan gementar melihat dia melalui pengalaman baharu ini.
“Alhamdulillah, dari mula menjejak kaki di bumi Qatar, semuanya dipermudahkan. Rakyat Malaysia di Qatar sangat baik dan prihatin, malah sebaik tiba di lapangan terbang, ada yang menyambut kami, membawa makan dan menghantar terus ke tempat penginapan.
“Walaupun jauh dari Malaysia, kami rasa seperti mempunyai keluarga sendiri di sini,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Harian Metro sebelum ini melaporkan, Wan Harriz menjadi satu-satunya wakil SK Tasek Utara, Johor Bahru yang layak ke pertandingan bahasa Inggeris di Qatar.
Ia selepas murid pintar berkenaan berjaya melepasi dua pusingan kelayakan membabitkan 93,000 murid seluruh dunia.
Pada awalnya, Nur Saliha dan suaminya, Wan Abdul Qayyum Wan Mahadi, 34, yang bekerja sebagai pemandu bas hampir membatalkan niat menghantar anak sulung dari tiga beradik itu ke Qatar atas faktor kekangan kewangan.
Bagaimanapun, pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mengambil inisiatif kreatif dengan mengumpulkan dana bagi menyokong kos dan perbelanjaan Wan Harriz ke negara Timur Tengah itu.
Bercerita lanjut, Nur Saliha berkata, sebelum pertandingan, Wan Harriz menyertai Hippo Summer Camp yang menyediakan kelas persiapan selain pelbagai aktiviti bersama peserta dari negara lain.
“Selepas beberapa hari persiapan, barulah berlangsung Play-Off Qualifier Round pada 8 Ogos yang menggunakan format ujian bertulis membabitkan soalan terbuka dan silang kata.
“Play-Off Qualifier Round tahun ini terbahagi kepada tiga lokasi iaitu Doha, United Kingdom (UK) dan Romania.
“Sebagai perbandingan, kategori Little Hippo di UK membabitkan 23 peserta dari enam negara, manakala Play-Off di Romania masih berlangsung sehingga esok,” katanya.
Dia berkata, Wan Harriz dijadualkan berlepas dari Doha pada esok sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Rabu ini.
Katanya, keluarga kini akan berbincang dengan pihak sekolah bagi menguruskan dokumentasi dan perancangan seterusnya menjelang World Final yang dijadualkan berlangsung pada 28 September hingga 1 Oktober depan.
“Tempoh yang ada agak singkat untuk membuat persiapan. Cabaran utama kami sekarang ialah kos.
“Kami akan cuba mendapatkan sokongan daripada pihak kerajaan, agensi berkaitan serta syarikat korporat melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang menyokong pembangunan pendidikan dan bakat anak Malaysia.
“Insya-Allah, jika dipermudahkan, kami akan berusaha sebaik mungkin untuk merebut peluang Harriz ke World Final di Spoleto dan sekali lagi membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

