suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kegiatan ceti haram (along) menerusi aplikasi pinjaman wang kini semakin membimbangkan apabila mencatatkan jumlah kes paling tinggi, dengan hampir 200 aduan diterima sejak awal tahun ini.
Dengan puluhan aplikasi menawarkan pinjaman wang mudah, golongan terbabit semakin rancak mencari mangsa tanpa perlu bersemuka, sebaliknya hanya melalui satu mesej dengan alasan proses permohonan lebih pantas dan mudah.
Mendedahkan perkara itu, Pengarah Biro Aduan dan Ceti Haram (Banteras), Pertubuhan Angkatan Nadi Jiwa Islam Malaysia (PANJI) Azman Kang Abdullah berkata, setakat ini kehadiran along menerusi aplikasi ini merekodkan kes paling tinggi.
Katanya, sejak awal tahun ini, pihaknya menerima kes membabitkan pelbagai jenis aplikasi dan usaha rundingan menjadi sukar kerana tiada maklumat mengenai pemberi pinjam haram berkenaan.
“Berdasarkan maklum balas di media sosial, ramai menganggap along Singapura ganas dan memberikan ancaman.
“Tetapi rekod Banteras mendapati, terlalu banyak kes daripada along aplikasi. Mereka tawarkan pinjaman menerusi aplikasi dan tiada maklumat berkaitan.
“Tahu-tahu, peminjam akan menerima ugutan setiap hari, walaupun pada awalnya along berkenaan mengakui mereka adalah pemberi pinjam wang berlesen,” katanya kepada Harian Metro.
Azman berkata, disebabkan itu, perunding ceti haram berdepan kesukaran untuk membantu pengadu dan along terbabit juga ‘keras kepala’ kerana tidak dapat dijejaki.
Menurutnya, ada pengadu yang cuba berkomunikasi dengan pentadbir aplikasi, namun tiada maklum balas sebaliknya hanya ugutan yang diterima.
“Banteras akan terus bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membantu mangsa yang teraniaya kerana kes semakin meningkat dari semasa ke semasa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

