Kuala Lumpur: Seorang pakar pemulihan aset luar pesisir memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, bahawa beliau tidak pasti sama ada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, adalah individu “nombor satu” dalam dakwaan konspirasi membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pengarah Urusan Kroll (Cayman) Ltd merangkap Ketua Amalan Luar Pesisir, Kroll Angela Barkhouse bagaimanapun berkata, individu yang menerima dana berkenaan adalah pihak yang menjadi tumpuan beliau.
Beliau berkata demikian ketika disoal peguam utama Datuk Seri Najib Tun Razak, iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada hari kelima perbicaraan kes saman USD5.64 bilion yang difailkan oleh 1MDB terhadap bekas Perdana Menteri itu dan enam lagi di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Redzuan Idrus.
Muhammad Shafee menyoal sama ada Barkhouse pernah bertemu dengan Jho Low atau mendengar nama ahli perniagaan itu sepanjang siasatannya, dan beliau menjawab “ya”.
Peguam itu kemudian bertanya sama ada beliau setuju bahawa Jho Low adalah individu utama dalam kontroversi serta dakwaan konspirasi untuk memusnahkan 1MDB, dan Barkhouse menjawab: “Antara lain, ya.”
Apabila Muhammad Shafee menyoal sama ada Barkhouse menganggap Jho Low sebagai individu “nombor satu” dalam dakwaan konspirasi itu, saksi itu berkata beliau tidak pasti.
Ketika peguam itu bertanya siapa lagi yang mungkin terbabit berdasarkan ketidakpastian saksi berkenaan sambil menyatakan pasti ada pihak lain dalam entiti yang dikesan olehnya semasa siasatan, Barkhouse menjawab individu yang menerima dana adalah pihak yang menjadi tumpuan beliau.
Muhammad Shafee: Ini termasuk anak guam saya (Najib), betul?
Barkhouse: Ya.
Pada 26 Disember 2025, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion terhadap Najib, 73, selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan menyalahgunakan kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion.
1MDB dan anak syarikatnya, iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited serta Global Diversified Investment Company Limited, yang sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited, memfailkan saman sivil itu pada 7 Mei 2021.
Mereka menamakan Najib; bekas Pengarah Kewangan 1MDB, Terrence Geh Choh Heng; bekas Pengarah Eksekutif, Casey Tang Keng Chee; bekas Ketua Pegawai Pelaburan, Vincent Beng Huat Koh; bekas Ketua Pegawai Operasi, Radhi Mohamad; bekas Pengarah Pelaburan, Kelvin Tan Kay Jim serta bekas Ketua Pegawai Pelaburan, Nik Faisal Ariff Kamil sebagai defendan.
Menurut writ saman itu, plaintif antaranya mendakwa defendan melakukan pecah amanah, melanggar kewajipan berkanun, menyalahgunakan kuasa serta berpakat untuk menyalahgunakan dana 1MDB.
Perbicaraan bersambung esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd
