am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Istana Budaya (IB) kembali membuka tirainya selepas lebih dua tahun ditutup sejak Januari 2024 bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembaikan dan naik taraf bumbung.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Istana Budaya, Johan Cruyff @ Mohd Johari Md Nordin berkata, transformasi bukan sekadar memperbaharui prasarana fizikal, malah memperkukuhkan ekosistem teknologi pentas agar lebih responsif terhadap keperluan produksi moden serta perkembangan inovasi dalam dunia seni kreatif dan seni persembahan pentas.
“Hari ini, satu detik bersejarah dan amat bermakna buat seluruh warga IB apabila kami bersedia membuka semula tirai sebagai lokasi seni persembahan bertaraf antarabangsa untuk penggiat-penggiat seni sama ada tempatan ataupun luar negara.
“Pembukaan semula ini bukan sekadar menandakan kembalinya operasi bangunan ikonik di ibu kota, tetapi melambangkan kesiapsiagaan institusi yang sentiasa berevolusi bagi memenuhi keperluan industri seni persembahan yang semakin dinamik,” katanya pada majlis peluncuran program IB 2026, di sini, hari ini.
Majlis disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot.
Sementara itu, Shaharuddin berkata, kebangkitan semula Panggung Sari IB sebagai Panggung Nasional Malaysia ini menyemarakkan agenda Kerajaan MADANI bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) melalui pengisian rantaian seni persembahan pentas bertaraf dunia.
Menurutnya, pihaknya memberikan sokongan padu bagi membuktikan komitmen bersama untuk memartabatkan seni dan budaya negara.
“MOTAC sentiasa berpegang teguh kepada Dasar Kebudayaan Negara yang menggariskan visi dan strategi jelas ke arah membentuk Malaysia sebagai negara maju dan masyarakat berbudaya.
“Bagi memastikan IB kekal berdaya saing di peringkat antarabangsa, kerajaan juga sudah memperuntukkan RM80 juta untuk menaik taraf fasiliti,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

