Birmingham: Hasrat bintang lompat jauh Greece, Miltiadis Tentoglou untuk memburu gelaran Eropah keempat terus berada di landasan apabila dia mudah melangkah ke final Kejohanan Eropah 2026 di Birmingham, hari ini.
Juara Olimpik dua kali itu mencatat 8.26 meter (m) pada aksi kelayakan di Stadium Alexander bagi mengesahkan tiket automatik ke final.
Tentoglou, 28, yang sudah biasa mempertahankan gelaran, tampil tanpa tekanan malah mengakui cukup teruja untuk beraksi di final.
“Esok saya mahu melakukan lompatan 8.50m, 8.60m dan menang.
“Saya berada dalam keadaan baik, jadi saya sepatutnya mampu melakukannya. Saya sudah mempertahankan banyak gelaran, jadi saya tidak rasa tertekan, sebaliknya teruja,” katanya.
Namun, Tentoglou bukan pendahulu kelayakan apabila atlet Itali, Francesco Ettore Inzoli mencatat 8.34m dengan bantuan angin, manakala wakil Serbia, Luka Boskovic berada di tempat kedua dengan 8.33m.
Juara dunia luar dan dalam dewan 2025, Mattia Furlani pula gagal mara ke final selepas hanya melakukan satu lompatan sejauh 7.73m ketika kembali daripada kecederaan.
Kejutan turut berlaku dalam acara baling tukul besi apabila juara Eropah tiga kali, Wojciech Nowicki dari Poland gagal melayakkan diri ke final.
Nowicki yang memenangi emas di Berlin 2018, Munich 2022 dan Rome 2024 hanya mampu mencatat 74.49m untuk menduduki tempat ke-13, ketinggalan 73 sentimeter daripada kedudukan ke-12 dan terakhir yang layak.
Juara Olimpik Tokyo 2021 itu bagaimanapun memiliki lima pingat Kejohanan Dunia termasuk dua perak dan tiga gangsa.
Rakan senegaranya, Pawel Fajdek, juara dunia lima kali dan juara Eropah 2016, akan meneruskan cabaran Poland dalam acara yang dikuasai negara itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Volodymyr Myslyvcuk dari Republik Czech mencatat balingan terbaik 79.61m untuk mendahului kelayakan, diikuti wakil Hungary, Bence Halasz dengan 79.58m.
Kedua-duanya menjadi dua atlet yang melepasi jarak kelayakan automatik 78m.
Sementara itu, juara bertahan dua kali acara lontar peluru wanita, Jessica Schilder dari Belanda tidak berdepan masalah untuk melangkah ke final.
Jessica hadir ke Birmingham dengan prestasi terbaik selepas mencatat 21.09m pada Liga Berlian Shanghai, sekali gus memecahkan rekod Liga Berlian dan menjadi atlet wanita ketiga dunia melepasi jarak 21m sejak 2000.
Juara Olimpik, Yemisi Mabry dari Jerman mendahului kelayakan dengan 19.25m, manakala Jessica mencatat 19.00m pada percubaan pertama.
Dalam acara 800m lelaki pula, wakil tuan rumah Max Burgin dan Ben Pattison berjaya mara ke separuh akhir selepas mendapat sokongan padu penonton di Stadium Alexander yang berkapasiti 18,000.
Atlet Perancis, Yanis Meziane mencatat masa terpantas dalam saringan dengan 1:45.10s, manakala rakan senegaranya yang juga juara bertahan, Gabriel Tual hanya mara sebagai pelari terakhir dengan catatan 1:46.33s.
© New Straits Times Press (M) Bhd

