Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengadakan perbualan telefon bersama Pemangku Menteri Pertahanan dan Logistik Angkatan Tentera Republik Islam Iran, TYT Brigadier General Seyed Majid Ebn-e-Reza bagi membincangkan perkembangan konflik serta hubungan pertahanan antara kedua-dua negara.
Harap gencatan senjata dikekalkan
Menerusi perbualan tersebut, Khaled menyampaikan ucapan takziah Malaysia atas pemergian para pemimpin, anggota keselamatan dan rakyat Iran yang terkorban dalam konflik yang berlaku.
Malaysia turut berharap gencatan senjata dapat dikekalkan, manakala penyelesaian melalui dialog dan diplomasi terus diberi ruang demi keamanan serta kestabilan rantau.
Ruang perkukuh kerjasama pertahanan
Menurut Khaled, Iran telah memperlihatkan daya tahan dalam menghadapi konflik berkenaan, termasuk melalui keupayaan pertahanan yang dibangunkan sendiri.
Malaysia melihat perkembangan itu sebagai ruang untuk memperkukuh kerjasama pertahanan yang lebih substantif berasaskan hubungan persahabatan yang erat antara kedua-dua negara.

Dalam pada itu, Malaysia turut menghargai kerjasama dan layanan baik Iran dalam memudah cara laluan sepanjang tempoh konflik, selain menekankan kepentingan keselamatan laluan maritim termasuk di Selat Hormuz untuk terus dipelihara.
Susulan daripada itu, Khaled memaklumkan Malaysia berharap Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama pertahanan dapat dimuktamadkan sebagai instrumen rasmi bagi memperkukuh hubungan pertahanan kedua-dua negara.
Beliau juga mengalu-alukan penyertaan Iran dalam Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) tahun hadapan sebagai platform untuk memperluas hubungan serta meneroka kerjasama pertahanan yang lebih menyeluruh.
