am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Pemaju Maple Residen, BCB Berhad memberi jaminan semua masalah yang dihadapi penduduk di kawasan perumahan terbabit akan diselesaikan secepat mungkin.
Seorang wakil pemaju perumahan terbabit memberitahu, mereka mengambil maklum masalah dialami sebaik menerima aduan penduduk kawasan terbabit.
“Semua dalam proses untuk membaik pulih dana kami sudah memohon permit mengubah suai rumah yang rosak.
“Kami (pemaju) akan selesaikan masalah itu secepat mungkin. Masalah yamh dialami penduduk sudah dibangkitkan sebelum ini,” katanya ketika dihubungi.
Semalam Harian Metro melaporkan keluhan puluhan penghuni Maple Residen yang dikenali sebagai taman perumahan elit di Tongkang Pechah dekat sini susulan kediaman mereka mengalami kerosakan.
Malah, lebih mengejutkan lagi apabila ada penghuni yang baru beberapa bulan berpindah mula berasa tidak selamat kerana berlaku keretakan sama ada di luar atau dalam rumahnya.
Sementara itu, Ahli Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Datuk Lassim Burhan berkata, perkara berkenaan sudah dimaklumkan kepada pemaju terbabit dan proses pembaikan dijalankan secara berperingkat.
Menurutnya, beliau bertindak sebagai pemudah cara tanpa menyalahkan mana-mana pihak asalkan masalah terbabit dapat diatasi dengan secepat mungkin.
“Kita membuat pemantauan dan pada masa sama, mendesak pihak pemaju supaya melakukan pembaikan terhadap kerosakan termasuk yang ada kesan keretakan.
“Saya sebelum ini sudah berjumpa dengan pemaju dan juga penduduk taman perumahan ini.
“Daripada tinjauan yang dilakukan, pihak kami melihat pemaju sudah pun menggerakkan kerja-kerja pengubahsuaian.
“Ada yang dah mula, ada yang belum lagi. Jadi, kerja pengubahsuaian perlu dilakukan secara urutan untuk mengelakkan kawasan terbabit berselerak dengan bahan binaan,” katanya.
Malah, katanya, keadaan kawasan terbabit juga perlu dijaga kerana jika berlaku hujan, akan menimbulkan kerisauan terutama berlaku lecak.
“Kita tidak boleh terlalu menekan kerana akan datang perkara ini boleh menyusahkan semua pihak. Kita tidak mahu jalan penyelesaian masalah akan berakhir di mahkamah.
“Ini sudah tentu akan merugikan penduduk yang mana mereka perlu keluarkan kos untuk membiayai urusan di mahkamah. Kami tidak mahu ia sampai ke tahap ini.
“Ada kemungkinan pemaju menjalankan kerja-kerja terbabit mengikut jadual. Mereka tidak boleh lakukan serentak ke atas semua rumah kerana kawasan itu dipenuhi bahan binaan.
“Kami tahu masalah ini akan menjejaskan penduduk. Untuk adil bagi semua pihak, pemaju perlu menjalankan tanggungjawab kerana itu adalah kewajipan mereka kepada pembeli.
“Kita cuba tolong mereka tapi mungkin ada yang tidak memahami prosedur. Jadi kami berharap ia diselesaikan secara baik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
