mhafis@mediaprima.com.my
Putrajaya: Sindiket penyeludupan dadah mempunyai rangkaian dengan ia beroperasi secara berlapis-lapis membabitkan kumpulan luar negara dan rangkaian tempatan.
Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, kumpulan luar negara bertanggungjawab membekalkan atau menerima dadah manakala rangkaian tempatan pula menguruskan pergerakan, penyimpanan dan pengedaran.
Menurutnya, daripada aspek rangkaian, sememangnya terdapat pembabitan sindiket luar negara yang bertindak sebagai pembekal, pembeli atau rakan logistik dalam operasi penyeludupan.
“Sindiket menggunakan laluan laut sebagai medium utama kerana ia menawarkan ruang pergerakan yang lebih luas serta sukar dipantau secara menyeluruh berbanding laluan darat.
“Namun begitu, kejayaan sesuatu operasi penyeludupan tidak akan berlaku tanpa sokongan rangkaian tempatan yang berperanan sebagai orang tengah, penyedia pengangkutan, penjaga lokasi transit, penghantar serta pengedar di dalam negara,” katanya.
Beliau berkata, isu penyeludupan dadah dilihat daripada segi konteks negara origin, transit dan destinasi tetapi Malaysia bukanlah negara origin, sebaliknya dijadikan transit serta destinasi.
“Kalau kita lihat data yang dikeluarkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), harga syabu di Malaysia mencecah RM30,000 per kilogram (kg) bergantung kepada gred, namun nilainya berbeza di Indonesia apabila bernilai RM100,000 per kg.
“Ini bukan isu serantau, tetapi global kerana dadah dijadikan komoditi ‘menarik’ untuk diniagakan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




