Pemimpin Tertinggi Mojtaba Khamenei sihat sepenuhnya – Presiden Iran

TEHERAN – Presiden Iran, Masoud Pezeshkian pada Isnin berkata, Pemimpin Tertinggi Iran Mojtaba Khamenei berada dalam keadaan sihat sepenuhnya, lapor Xinhua.

Beliau berkata demikian dalam wawancara dengan stesen televisyen kerajaan IRIB ketika mengulas pertemuan terbaharunya selama “tujuh jam” dengan Khamenei.

Mengulas pertemuan itu, Pezeshkian berkata mengekalkan perpaduan dan solidariti nasional merupakan perkara paling penting yang ditekankan oleh Pemimpin Tertinggi.

Beliau menyifatkan pertemuan itu sebagai “sangat baik”, dengan isu kos sara hidup rakyat, pekerjaan dan perumahan antara perkara utama yang dibincangkan.

“Kami turut membincangkan masalah yang berpunca daripada sekatan,” katanya.

Media Iran melaporkan pada Ahad bahawa Pezeshkian bertemu Khamenei bersempena permulaan tahun ketiga beliau memegang jawatan Presiden.

Mojtaba Khamenei dipilih sebagai Pemimpin Tertinggi baharu Iran oleh Majlis Pakar pada Mac selepas bapanya yang juga bekas Pemimpin Tertinggi, Ali Khamenei terbunuh dalam serangan bersama AS dan Israel pada 28 Februari.

Mojtaba Khamenei tidak membuat penampilan di khalayak ramai sejak dipilih ke jawatan itu. – Bernama

Scroll to Top