Parlimen bukan tempat penerangan sehala, RCI Tabung Haji perlu dibahas – PN

KUALA LUMPUR – Institusi Parlimen tidak boleh dijadikan sekadar tempat penerangan sehala tanpa ruang perbahasan dan penentuan dasar yang bermakna, khususnya dalam isu yang membabitkan kepentingan pencarum Tabung Haji (TH) dan integriti kewangan negara.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu penting bagi memastikan proses di Dewan Rakyat benar-benar memberikan ruang kepada Ahli Parlimen untuk membahaskan serta menentukan tindakan susulan terhadap Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Menurutnya, sidang khas berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH amat mengecewakan apabila ia hanya melibatkan sesi penerangan menteri tanpa sebarang usul, ketetapan mahupun proses pengundian.

“Lebih menyedihkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sendiri meminta Mesyuarat Khas ini diadakan, gagal hadir bagi menjawab persoalan penting dan mewujudkan proses akauntabiliti yang telus.

“Kegagalan ini menyebabkan ahli Parlimen pembangkang yang telah bersedia sepenuhnya untuk membahaskan isu rakyat ini, memohon agar sidang berkenaan ditangguhkan sehingga Perdana Menteri sendiri dapat hadir bagi memastikan proses pertanggungjawaban dapat dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Pembangkang keluar dewan, protes sidang khas RCI Tabung Haji

Keluar Dewan: Pembangkang tidak serius isu RCI Tabung Haji – Zaliha

Ahli Parlimen Bersatu tidak keluar dewan, mahu tempoh bahas RCI TH dipanjangkan

‘Nak bahas saya atau Tabung Haji?’ – Anwar

PM perlu hadir bahas RCI TH untuk jawab – Mohd Syahir

RCI TH: Rosol ibaratkan ketiadaan PM seperti pengantin tak datang majlis kahwin

‘Ini bukan tatakelola, ini tatatekola’ – Afnan dakwa kerajaan tidak serius tangani isu RCI TH

RCI TH: Kabinet setuju siasatan penuh serta-merta

Pasukan khas ditubuh laksana syor RCI, pinda Akta TH – Zulkifli

[VIDEO] ‘Tiada aset TH dijual kepada golongan bukan Islam atau China’ – Menteri Agama

Lima kali BNM beri amaran kepada TH, bimbang kesan bayaran agihan untung tinggi – Dr Zulkifli

Terdahulu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, memutuskan untuk meneruskan Persidangan Khas Dewan Rakyat bagi membahaskan laporan RCI selepas menolak permohonan Takiyuddin agar persidangan ditangguhkan kerana Anwar tidak dapat hadir berikutan menjalani rawatan perubatan.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kota Bharu itu turut mempersoalkan prosedur pembentangan laporan RCI Tabung Haji yang disifatkannya sebagai ganjil.

Menurutnya, lazimnya laporan RCI dibentangkan di Parlimen terlebih dahulu di bawah terma embargo sebelum didedahkan kepada umum.

Namun, bagi kes RCI Tabung Haji, beliau berkata, laporan tersebut telah didedahkan kepada umum terlebih dahulu ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebelum dibawa ke Dewan Rakyat.

“Langkah terbalik ini jelas menunjukkan bahawa perbahasan di dalam Dewan kini tidak lagi mempunyai perbezaan ketara berbanding perbahasan di luar Parlimen, melainkan jika Perdana Menteri hadir secara langsung untuk mempertahankan laporan tersebut di hadapan wakil-wakil rakyat,” jelas beliau.

Scroll to Top