nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Kelantan membuka 63 kertas siasatan dan melakukan 77 operasi berhubung pencerobohan dan perlombongan haram sejak tahun lalu hingga Jun tahun ini.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, berkata kertas siasatan yang dibuka itu diserahkan kepada Unit Pendakwaan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) untuk tindakan lanjut.
“Bagi melumpuhkan keupayaan logistik dan menyekat kegiatan haram ini daripada terus beroperasi di lapangan, pihak berkuasa menyita aset penceroboh dengan merampas sebanyak 65 jentera jengkaut dianggarkan bernilai RM15.8 juta sepanjang tempoh berkenaan.
“Fokus operasi penguatkuasaan terhadap aktiviti perlombongan haram ini kebiasaannya dikesan dan dilaksanakan di kawasan hotspot yang membabitkan Jajahan Gua Musang, Kuala Krai, Jeli, dan Tanah Merah.
“Pihak kerajaan negeri tidak akan bertolak ansur dan akan terus memperkasakan kawalan bagi memastikan khazanah hasil bumi negeri sentiasa terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan Datuk Shaari Mat Hussain (PAS-Paloh) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Sementara itu ketika menjawab soalan dikemukakan Datuk Syahbuddin Hashim (BN-Galas) mengenai sama ada kerajaan negeri sudah mengenal pasti dalang utama atau terdapat rampasan emas di sebalik serbuan perlombongan haram di Gua Musang baru-baru ini yang merekodkan nilai rampasan RM4.2 juta, Mohamed Fadzli berkata, sindiket itu licik dalam menjaga hasil.
“Mereka ini profesional, mereka tahu untuk menjaga hasil, namun kita tahu tanah berkenaan milik siapa dan siasatan sedang dijalankan.
“Saya juga sudah berbicang dengan pihak berkuasa serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG), kita juga sedang meneleti semula hukuman terutamanya kepada kesalahan yang berulang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
