Lelaki dipenjara dua tahun, cederakan dan cuba langgar isteri

Kangar: Seorang lelaki dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mendatangkan kecederaan dan cuba membunuh isterinya pada September tahun lepas.

Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Hasmi Mohd Salleh, 39, selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Sharifah Norazlita menjatuhkan hukuman penjara setahun untuk pertuduhan pertama manakala hukuman penjara dua tahun bagi pertuduhan kedua dan memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 21 September 2025.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya, Norzuraida Don Khodet, dengan menumbuk lengan kanan wanita itu sehingga lebam.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Tertuduh juga didakwa cuba membunuh isterinya dengan cara melanggar wanita itu menggunakan sebuah kereta Proton Wira Aeroback mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan pada 3.10 pagi dan 3.25 pagi di Jalan Haji Hamid, Kampung Jelempok, Arau pada 20 September 2025.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Alif Farhan Hassan manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Widyaevasari Mohd Kanifiah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top