Piala Raja Thai: Malaysia naib juara regu berpasukan, kemarau emas 38 tahun berterusan

KUALA LUMPUR – Impian Malaysia untuk menyaksikan skuad sepak takraw kebangsaan menamatkan kemarau 38 tahun tanpa kejuaraan dalam acara regu berpasukan berkubur selepas tewas 0-2 kepada musuh tradisi Thailand pada final Piala Raja Thai 2026 hari ini.

Pada aksi final di Fashion Island Mall, Bangkok, anak buah Ahmad Jais Baharun sekali lagi gagal memecahkan dominasi skuad Gajah Putih yang terus menghantui sepak takraw negara sejak tiga dekad lepas.

Kali terakhir Malaysia menjulang kejuaraan regu berpasukan pada Piala Raja Thai adalah pada edisi 1988 sebelum penantian itu terus berpanjangan setiap kali mereka bertemu Thailand.

Terdahulu, gandingan Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican, Muhammad Noraizat Mohd Nordin dan Kamarul Ezzad Kamarul Imran gagal menghadiahkan mata pertama buat negara apabila tewas 0-2 (7-15, 11-15).

Regu kedua yang dibarisi Muhammad Haziq Hairul Nizam, Hafizul Hayazi Adnan dan Zuleffendi Sumari turut gagal meneruskan saingan selepas tewas 9-15 pada set pertama sebelum ditundukkan 12-15 oleh trio Thailand Kritsanapong Nontakote, Tanaphon Sapyen dan Wuttinun Kamsanor.

 

Scroll to Top