KUALA LUMPUR – Mana-mana pihak yang berdasarkan bukti dan proses undang-undang didapati melakukan salah laku, pecah amanah, penyalahgunaan kuasa atau pelanggaran undang-undang berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) hendaklah dipertanggungjawabkan.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, perkara itu penting susulan dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan TH yang menyentuh kelemahan tadbir urus, pengaruh politik dalam pelantikan kepimpinan, ketidakpatuhan dalam pengisytiharan agihan keuntungan serta pelaporan kewangan yang tidak mencerminkan kedudukan sebenar.
Menurutnya, RCI turut mengenal pasti 14 pelaburan bermasalah yang dikaitkan dengan kerugian berbilion ringgit.
“Dapatan ini menunjukkan bahawa kemelut TH tidak boleh dianggap sekadar kelemahan pengurusan biasa.
“Ia menyentuh persoalan amanah, integriti, pematuhan undang-undang dan pertanggungjawaban terhadap sebuah institusi yang mengurus simpanan hampir 10 juta umat Islam Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
ABIM menyambut baik siasatan susulan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain menggesa proses itu diteruskan secara menyeluruh, telus dan tanpa memilih kedudukan atau latar belakang mana-mana pihak.
Ahmad Fahmi berkata, tindakan undang-undang sahaja bagaimanapun tidak mencukupi dan RCI mesti menjadi asas kepada reformasi menyeluruh TH.
“ABIM menyokong pengukuhan Akta Tabung Haji 1995 [Akta 535], termasuk kriteria ‘fit and proper’ bagi kepimpinan, mengelakkan pelantikan ahli politik aktif dalam Lembaga TH, memperkukuh pengawasan pengurusan dana dan pelaburan serta mengenakan penalti terhadap salah lapor penyata kewangan,” katanya.
Dalam pada itu, ABIM kesal dengan tindakan Ahli Parlimen Pembangkang yang memilih untuk keluar Dewan dan tidak mengambil bahagian dalam perbahasan RCI TH pada Selasa.
Menurut Ahmad Fahmi, jika terdapat keraguan terhadap dapatan RCI atau penjelasan Kerajaan, Dewan Rakyat merupakan medan terbaik untuk perkara itu dipersoalkan dan dicabar secara terbuka.
“Semak dan imbang yang berkesan menuntut keberadaan, penghujahan dan keberanian berdepan fakta,” katanya.
ABIM menurutnya, turut menegaskan TH bukan milik Kerajaan atau Pembangkang, sebaliknya amanah umat Islam Malaysia dan laporan RCI tidak seharusnya dijadikan senjata pertarungan politik kepartian.
“Setiap dapatan mesti dinilai berdasarkan fakta, bukti, undang-undang dan prinsip keadilan.
“Perpaduan yang sebenar ialah keberanian mempertahankan institusi umat, menegakkan kebenaran dan memastikan kesalahan yang sama tidak berulang,” katanya.
Ahmad Fahmi berkata, RCI tidak boleh berakhir sebagai sebuah laporan, sebaliknya mesti diterjemahkan kepada pertanggungjawaban, reformasi institusi dan pengukuhan keyakinan umat terhadap TH.
“TH adalah amanah umat. Amanah ini mesti mengatasi kepentingan politik sesiapa pun,” tambahnya.