PKP Penuh: Permintaan elektrik tidak terkesan

PKP Penuh: Permintaan elektrik tidak terkesan

mahanum_aziz@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Permintaan elektrik di Semenanjung masih berada dalam landasan untuk meningkat tahun ini meskipun terkesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh semasa, namun ia tidak menguncup secara mendadak seperti dicatatkan tahun lalu, demikian kata penganalisis.

Maybank IB Research berkata, penjanaan elektrik di Semenanjung menguncup sebanyak 8.5 peratus sejak pelaksanaan sekatan pergerakan penuh terkini yang bermula 1 Jun lalu.

Jika dibandingkan semasa PKP penuh yang dilaksanakan dalam tempoh Mac-Mei 2020, ia menjelaskan, penjanaan elektrik merosot sebanyak 24 peratus.

Justeru, katanya, dengan kadar tahunan dan jangkaan permintaan sejajar dengan penjanaan elektrik, pihaknya menjangkakan setiap bulan bagi PKP penuh dilaksanakan akan merendahkan permintaan sebanyak 0.7 peratus.

“Data permintaan tidak dikeluarkan, tetapi pada pandangan kami ia akan sejajar dengan penjanaan (elektrik). Dengan kadar tahunan, kami jangka setiap bulan PKP penuh akan merendahkan permintaan keseluruhan tahun sebanyak 0.7 peratus.

“PKP penuh setakat ini berlangsung selama sebulan, sekali gus permintaan di Semenanjung masih dalam landasan untuk berkembang pada 2021,” katanya dalam nota penyelidikannya.

Mengenai prestasi Tenaga Nasional Bhd (TNB), Maybank IB Research berkata, unjurannya terhadap pendapatan dan harga sasaran RM12 bagi TNB kekal tidak berubah.

Ia berkata, syarikat utiliti nasional itu terlindung daripada turun naik tidak menentu permintaan, yang mana hanya segmen perkhidmatan pelanggan terdedah kepada risiko permintaan.

Cabang penyelidikan Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) itu menjelaskan, pendapatan kawal selia tahunan syarikat utiliti itu adalah tetap dengan sebarang kekurangan boleh dituntut daripada Dana Industri.

“Mengikut anggaran kami, sebulan PKP penuh akan mengakibatkan kekurangan pendapatan RM97 juta, jumlah yang agak terkawal bagi Dana Industri,” katanya.

Sementara itu, Maybank IB Research berkata, isu yang dihadapi syarikat utiliti nasional itu ketika PKP penuh sebelum ini seperti hutang lapuk yang tinggi dan kerugian Sabah Electricity dijangka tidak seteruk kali ini.

Ia berkata, operasi TNB terus berjalan dalam tempoh PKP penuh kali ini tidak sama seperti PKP penuh 2020, sekali gus menyumbang kepada pendapatannya.

“Kami terus menjangkakan peningkatan pendapatan pada 2021 berikutan terma kawal selia yang lebih baik. Kami suka TNB kerana kestabilan pendapatannya. Saham ini juga menawarkan pulangan dividen berulang yang baik iaitu lebih lima peratus,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top