mohamadridzuan@hmetro.com.my
Apabila artis lama kembali jadi sebutan, nama Syahmi Sazli diangkat sebagai hero.
Di sana-sini, peminat industri seni serta pemain-pemain di dalamnya bercakap berkenaan satu nama iaitu Syahmi Sazli. Secara tiba-tiba sosok pemuda berusia 31 tahun dari Kota Bharu, Kelantan menjadi sebutan ramai.
Syahmi pernah mencipta fenomena menerusi filem pertama arahannya, Mael Totey The Movie dikeluarkan pada 2020 yang berjaya mencatat kutipan lebih RM6 juta, satu pencapaian hebat untuk orang baharu dalam industri.
Kali ini, Syahmi memilih memperluaskan skopnya dalam industri hiburan tanah air apabila menganjur festival makanan menampilkan persembahan artis.
Kita perlu akur dunia hiburan yang sentiasa berubah mengikut arus populariti menyaksikan nama yang suatu ketika dahulu menjadi sebutan ramai, akhirnya semakin jarang kedengaran.
Bakat mereka masih ada, namun pentas dan ruang yang dahulu terbuka luas kini lebih banyak diisi barisan muka baharu.
Justeru, apabila muncul usaha membawa kembali artis veteran menemui penonton, ia membawa makna besar daripada sekadar persembahan hiburan.
Syahmi cuba memecah tradisi apabila konsisten mengetengahkan penyanyi veteran, khususnya mereka yang pernah mewarnai industri muzik tanah air sekitar era 1980 dan 1990-an.
Usaha itu sedikit demi sedikit membuatkan nama artis lama kembali disebut, dikenali dan diingati oleh masyarakat.
Ikutkan usaha ini pernah dilakukan oleh penganjur festival makanan lain apabila sering membuka peluang kepada artis era ‘rock kapak’ beraksi.
Namun, Syahmi mengambil pendekatan lebih bijak apabila memanfaatkan medium media sosial untuk mempromosikan acara kendaliannya.
Usaha ini mendapat pengiktirafan daripada ramai nama besar dalam industri yang mengalu-alukan usaha dibuat.
Penyanyi Datuk Nash menyifatkan keprihatinan Syahmi sebagai sesuatu yang cukup murni kerana bukan semua penganjur sanggup membuka ruang kepada artis yang sudah lama tidak berada dalam arus perdana.
Nash melihat Syahmi sebagai individu mempunyai hati mulia kerana sanggup membawa kembali artis lama yang dilupakan masyarakat.
Baginya, peluang itu bukan saja memberi pendapatan kepada artis terbabit, tetapi turut mengembalikan keyakinan mereka masih ada tempat dalam industri.
Peluang diberi kepada artis veteran tidak berhenti setakat satu bayaran persembahan.
Apabila kemunculan mereka dirakam dan dikongsikan di media sosial, masyarakat kembali mengetahui bahawa artis berkenaan masih aktif.
Dari situ, mungkin muncul undangan lain, peluang pekerjaan baharu dan sumber pendapatan.
Pandangan serupa dilontarkan vokalis Wings, Datuk Awie yang mengakui usaha Syahmi wajar disokong kerana ia membantu ‘otai’ dan penyanyi kembali menemui penonton.
Lebih daripada itu, ia menghidupkan semula nostalgia terhadap zaman yang pernah menjadi antara era keemasan dan penting dalam perjalanan muzik tempatan.
Awie berkata, apa yang dilakukan Syahmi juga memperlihatkan satu sikap menghargai jasa.
Membawa artis veteran kembali ke pentas bukan sekadar mahu mencipta kandungan tular atau mengejar perhatian media sosial, sebaliknya perlu lahir daripada keikhlasan.
Perkara itu dapat dilihat apabila penyanyi rock legenda, Rahim Maarof kembali membuat persembahan di atas pentas.
Kemunculannya bukan sekadar persembahan biasa kerana bagi ramai peminat lama, melihat Rahim kembali beraksi membawa satu perasaan yang sukar diterjemahkan – antara rindu, sebak dan syukur.
Hakikatnya, tidak semua artis veteran bernasib baik seperti Datuk Jamal Abdillah, Ella dan beberapa nama besar lain yang masih aktif menerima undangan.
Kisah Dwan daripada kumpulan Olan pula memperlihatkan sisi lain kehidupan artis veteran yang jarang dilihat masyarakat.
Isterinya, Zarina Anuar tampil memohon bantuan bagi menampung kos rawatan suaminya yang berdepan komplikasi kesihatan selepas mengalami strok dan penyakit autoimun.
Keadaannya memerlukan rawatan berterusan termasuk suntikan khas yang memerlukan kos RM28,900 bagi tempoh tiga bulan.
Pentas acara Syahmi Sazli dimanfaatkan sebaik-baiknya apabila Dwan Olan ditampilkan membuat persembahan dan masalahnya diutarakan. Hasilnya tidak sampai beberapa hari, jumlah diperlukan sudah tercapai.
Beralih seketika kepada topik lain, Datuk Khadijah Ibrahim pula membuka satu lagi persoalan yang lebih besar mengenai hubungan antara generasi dalam industri muzik.
Khadijah berkata, beliau sentiasa membuka peluang kepada artis baharu untuk tampil dalam konsertnya. Formula sama turut digunakan dalam program anjuran Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN).
Namun, beliau secara terbuka mempersoalkan sama ada artis baharu melakukan perkara yang sama apabila mereka mengadakan konsert sendiri.
Khadijah mengakui sedih apabila melihat ada konsert yang tidak memberikan ruang kepada penyanyi veteran walaupun sekadar sebagai pembuka persembahan.
Akhirnya, mungkin inilah masa untuk industri hiburan melihat semula makna ‘memberi peluang.’
Ia bukan bermaksud mengetepikan artis baharu, jauh sekali menghalang perkembangan generasi muda. Sebaliknya, kejayaan sebenar sesebuah industri ialah apabila generasi lama dan baharu mampu berjalan seiring.
Penulis wartawan Harian Metro
© New Straits Times Press (M) Bhd
